Kesedar Food Valley tangani isu keterjaminan makanan negara - Zahid
Bernama
Februari 26, 2023 17:31 MYT
Februari 26, 2023 17:31 MYT
GUA MUSANG: Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) berpotensi menjadi pengeluar makanan domestik menerusi pembangunan program 'Kesedar Food Valley' sebagai usaha menangani isu keterjaminan makanan serta meningkatkan pengeluaran pertanian dan makanan negara.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata usaha Kesedar dalam memanfaatkan lebih 900 hektar tanah bagi tanaman hasil baharu di Gua Musang wajar dijadikan penanda aras baharu serta lebih baik membabitkan agensi kerajaan.
Beliau berkata tiga projek utama yang diperkenal oleh Kesedar di bawah program ini ialah Pertanian Hasil Baharu, Penternakan Lembu Pedaging dan Agrotek Desa.
"Kajian pembangunan pertanian sedang diusahakan dan dijangka siap pada pertengahan tahun ini malah kolaborasi strategik bersama pemain industri sedang diusahakan oleh Kesedar.
"Bagi memulakan usaha ini, Kesedar telah membangunkan kawasan seluas 22 hektar di Agrotek Manik Urai, Kuala Krai dengan tanaman seperti jagung, nanas MD2, kelapa, labu, cili kulai, sayur-sayuran fertigasi serta tanaman kekal seperti durian dan dokong," katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Kesedar Gua Musang hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang.
Mengulas lanjut, beliau berkata Kesedar turut membangunkan tanaman kopi Robusta di kawasan seluas 60 hektar dengan kerjasama Nestle Malaysia di bawah Program NESCAFE Grown Respectfully.
Beliau berkata pada 2022, Kesedar telah membelanjakan RM900,000 kepada anak syarikatnya Kesedar Dagang Sdn Bhd bagi memulakan usaha penternakan lembu pedaging pada 2020.
"KDSB kini mengusahakan ternakan lembu pedaging secara fidlot dan integrasi di kawasan seluas 150 hektar di Kesedar Sungai Asap dan Chalil dengan kapasiti pengeluaran daging ialah 170 tan metrik daging segar setahun.
"Ini adalah usaha yang baik dalam memastikan bekalan makanan di negara ini mencukupi selain harga pasaran berada pada paras berpatutan dan membantu negara mengukuhkan aspek keterjaminan makanan," katanya.
-- BERNAMA