Kesatuan Eropah nafi bolot vaksin COVID-19

Astro Awani
Jun 23, 2021 09:24 MYT
Kata Michalis Rokas, segala permintaan daripada kerajaan Malaysia berhubung agihan vaksin ke negara ini sudahpun diluluskan tanpa masalah oleh Sekretariat EU. -Gambar fail
PUTRAJAYA: Kesatuan Eropah (EU) menyangkal dakwaan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar kononnya blok itu membolot vaksin.
Dutanya ke Malaysia, Michalis Rokas berkata, tohmahan berkenaan tidak berasas sama sekali kerana apa yang berlaku membuktikan EU amat prihatin dalam isu itu.
“Untuk makluman anda, segala permintaan daripada kerajaan Malaysia berhubung agihan vaksin ke negara ini sudahpun diluluskan tanpa masalah oleh Sekretariat EU,” tegasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Program Sokongan Respons COVID-19 ASEAN-EU kelolaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di negara ini, pada Selasa.
Majlis itu dirasmikan secara maya oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan turut disertai Wakil WHO bagi Malaysia, Brunei dan Singapura, Dr Lo Ying-Ru Jacqueline.
BACA: Kerajaan selesai beli, bayar bekalan vaksin untuk vaksinasi dalam negara
BACA: China gesa agihan vaksin secara adil
Sebelum ini, Khairy Jamaluddin pada sidang media mendedahkan ada beberapa buah negara Eropah yang memonopoli agihan sehingga mengakibatkan kadar vaksinasi di negara ini agak ketinggalan.
Kartel itu dipercayai berunding terus dengan pembekal vaksin bagi membolehkan pembelian dapat dibuat secara pukal.
Mengulas lanjut, Rokas berkata, lebih lima juta dos disumbangkan EU kepada kerajaan Malaysia menerusi program Akses Sejagat Vaksin Covid-19 (Covax).
#Khairy Jamaluddin #EU #WHO #COVAX #COVID-19 #vaksin #Kesatuan Eropah #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #PICK #Michalis Rokas #Pertubuhan Kesihatan Sedunia
;