KESAS buat laporan polis susulan perbuatan khianat dan cubaan sabotaj
Bernama
Oktober 22, 2016 00:16 MYT
Oktober 22, 2016 00:16 MYT
Kesas Sdn Bhd telah membuat laporan polis berhubung perbuatan khianat dan cubaan sabotaj ke atas pengguna lorong motosikal oleh individu tidak bertanggungjawab di lorong motosikal Lebuhraya Shah Alam (LSA) awal pagi semalam.
Kesas dalam kenyataan hari ini berkata gambar perbuatan khianat itu turut diserahkan kepada polis untuk siasatan.
"Kejadian yang berlaku sebenarnya telah ditemui sewaktu rutin rondaan dijalankan Kesas Ronda di lorong motosikal LSA pada 5 pagi semalam dan tiada penunggang atau pengguna lorong motosikal terlibat atau cedera.
"Tindakan segera pihak Kesas Ronda itu berjaya menggagalkan cubaan sabotaj ke atas pengguna lorong motosikal oleh individu yang tidak bertanggungjawab," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu Kesas sentiasa bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia bagi memantau keselamatan di lebuh raya terlibat termasuk rondaan bermotosikal 24 jam akan dipergiatkan bagi membanteras kegiatan seumpama itu berulang.
Sementara itu, jurucakap Kesas ketika dihubungi Bernama mengesahkan terdapat seorang anggota peronda Kesas cedera ringan akibat perbuatan khianat itu selepas lehernya tersangkut pada dawai yang dipasang merentangi laluan motosikal LSA bertujuan mencederakan mangsa sebelum dirompak.
Mangsa yang cedera ringan melakukan rondaan bersendirian ketika itu. - BERNAMA