Kesan tapak kaki ditemukan, Bah Mail dipercayai masih hidup

Bernama
Julai 20, 2023 04:49 MYT
Pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menemukan tapak kaki disyaki milik mangsa, Bah Mail Pak Gendet (foto) berhampiran anak sungai pada 11.30 pagi, semalam. -Gambar fail/Sinar Harian
KUANTAN: Warga emas Orang Asli yang dilaporkan hilang di Kampung Chekai, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Betau, Kuala Lipis, kira-kira 230 kilometer dari sini, dipercayai masih hidup.
Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor berkata pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menemukan tapak kaki disyaki milik mangsa, Bah Mail Pak Gendet, 76, berhampiran anak sungai pada 11.30 pagi, semalam.
Beliau berkata anggota SAR kemudiannya ternampak kelibat lelaki itu yang melarikan diri ke dalam hutan namun usaha mengesannya gagal.
"Justeru, kita akan mohon bantuan daripada unit K9 polis dan bomba dalam operasi hari ini," katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini, Bah Mail dilaporkan hilang selepas keluar rumah sekitar 8 pagi 9 Julai lepas.
Usaha penduduk kampung untuk mengesannya turut gagal dan operasi SAR kini memasuki hari ke-10.
-- BERNAMA
#warga emas #Orang Asli #Bah Mail Pak Gendet #Kampung Chekai