Kesan inflasi lebih berpanjangan jika krisis tenaga buruh tidak ditangani - Pakar

Raja Hisyam Raja Zaid
Januari 18, 2022 12:52 MYT
Harga meningkat disebabkan oleh pengeluar ataupun pengilang tidak mampu untuk membekalkan apa yang diminta oleh pasaran. - Gambar hiasan/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kesan daripada inflasi global termasuk Malaysia ketika ini akan lebih berpanjangan sekiranya isu membabitkan kekurangan tenaga kerja termasuk pekerja asing tidak diatasi dalam tempoh terdekat.
Menurut Penganalisis Ekonomi, Prof. Madya Mohd Yusof Saari, kesannya sudah dirasai sebenarnya bermula tahun lepas.
“Jika kita ingat akhir tahun lepas di mana bahan mentah seperti harga ayam dan juga yang lain tiba-tiba meningkat. Ia telah menunjukkan bahawa berlakunya gangguan terhadap bekalan yang akhirnya menyebabkan harga meningkat.
“Harga meningkat tersebut disebabkan oleh pengeluar ataupun pengilang di luar sana tidak mampu untuk membekalkan apa yang diminta oleh pasaran,” jelasnya kepada Astro AWANI.
Ekonomi | Kesan inflasi global, ancaman inflasi lokal
Justeru katanya, kebergantungan terhadap tempoh inflasi yang dirasai berkait rapat dengan seberapa cepat campur tangan pihak berwajib atau kerajaan dalam menangani masalah tersebut.
Menyentuh mengenai kenaikan harga minyak dan kelapa sawit global yang turut meningkat, jelasnya, ia merupakan salah satu komponen bahan mentah penting untuk pengeluar yang mempengaruhi setiap industri.
“Jika berlaku kenaikan harga (minyak dan kelapa sawit) sudah pastinya pengeluar akan melepaskan kenaikan harga tersebut kepada pihak pengguna. Secara langsungnya ia menunjukan bahawa harga barang akan dinaikkan.
“Sekiranya kedua-dua masalah ini (kekurangan tenaga buruh dan harga minyak) ia akan memberi tekanan berganda kepada ekonomi. Dalam satu sudut, pengeluar terpaksa terlibat dengan kos pengeluaran yang meningkat dan Jabatan Perangkaan Malaysia juga telah menunjukkan bahawa harga barangan di kilang telah berlaku peningkatan,” katanya lagi.
Tambahnya, ia lebih memburukkan keadaan apabila kebanyakan rakyat ketika ini masih lagi bergelut untuk memulihkan ekonomi mereka yang telah terjejas disebabkan pandemik COVID-19 yang melanda.
#COVID-19 #ekonomi #pandemik #pekerja asing
;