Kesan fenomena Taufan Super Saola tidak bertahan lama

Sinar Harian
September 1, 2023 08:50 MYT
Menurut Azizan, fenomena Taufan Super Saola tidak akan memberi kesan terhadap cuaca di kawasan pantai timur Malaysia. - Gambar fail/Sinar Harian
Fenomena Taufan Super Saola memberi kesan terhadap cuaca, namun tidak akan bertahan dalam tempoh lama dan berakhir Jumaat ini.
Pakar Meteorologi di Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan, Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata, keadaan itu berlaku apabila terdapat angin yang akan mengikut ke kawasan pemusatan taufan.
Ujarnya, antara kawasan yang menerima tempias taufan tersebut adalah di kawasan barat daya dan utara Semenanjung Malaysia.
Menurutnya, keadaan semasa angin taufan itu kini sudah mula bergerak dari timur ke barat dan akan terhenti sama ada di China atau Taiwan.
“Perubahan cuaca akan berubah apabila angin bertukar menjadi lebih kencang sehingga berlaku ribut petir dan antara kawasan yang terkena tempias ialah Pulau Pinang, Langkawi dan Phuket.
“Kalau kita tengok situasi dan kedudukan taufan sudah berada dekat China serta akan ‘mati’ atau berhenti dalam masa terdekat.
“Kejadian ribut taufan ini mengambil masa yang lama dan kadangkala beberapa minggu, tetapi fenomena ini akan tamat sebaik sahaja ia naik ke kawasan darat,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Baru-baru ini, media antarabangsa melaporkan, Taufan Super Saola yang mencetuskan banjir dan tanah runtuh di tujuh wilayah di Filipina akan menjejaskan hampir 200,000 orang.
Menurut Majlis Pencegahan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan berkata, sekurang-kurangnya seorang dilaporkan hilang manakala tiada kematian dilaporkan setakat ini.
Mengulas lanjut, Azizan berkata, keadaan tersebut semakin baik menerusi bacaan tiupan angin di beberapa kawasan.
Ujarnya, fenomena tersebut tidak akan memberi kesan terhadap cuaca di kawasan pantai timur Malaysia.
“Tapi kalau kita tengok Jabatan Kaji Cuaca ada keluarkan amaran berkait dengan kesan daripada taufan ini dan kita dapati kelajuan tiupan angin kencang dengan 22 kilometer (km) per jam sekarang dah reda.
“Pulau Pinang, Langkawi dan Phuket dengan bacaan kelajuan angin 25km per jam.
“Namun fenomena ini tidak akan memberi kesan di bahagian pantai timur disebabkan terdapat kawasan banjaran yang berfungsi sebagai halangan kepada angin daripada masuk,” katanya. - Sinar Harian
#Taufan Super Saola #pakar meteorologi #Filipina #angin kencang
;