Kesalinghubungan China-Malaysia dioptimum, perkukuh destinasi pelancongan mesra Muslim
Bernama
Januari 11, 2024 08:10 MYT
Januari 11, 2024 08:10 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan untuk mengoptimumkan kesalinghubungan antara China dan Malaysia menerusi penerbangan terus, transit dan tempahan khas, dalam usaha memperkukuhkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) Datuk Seri Tiong King Sing berkata dalam merealisasikannya, menerusi rundingan dengan beberapa syarikat penerbangan MOTAC dijangka melancarkan penerbangan antara Xi'an dan Kuala Lumpur pada Mac, serta penerbangan sewa khas dari Urumqi-Kuala Lumpur pada Mei atau Julai tahun ini.
"China sentiasa menjadi antara pasaran pelancongan utama untuk Malaysia, dan MOTAC sedang berusaha untuk memperluaskan lagi peluang untuk industri pelancongan kita. Sebagai salah satu destinasi perintis mesra Muslim, kami juga mengenal pasti potensi besar pasaran Muslim yang belum diterokai di China.
"Malaysia gembira kerana menerima reputasi sebagai jenama ekosistem pelancongan dan hospitaliti mesra Muslim dan menduduki tempat pertama dalam Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) 2023 untuk kali kelapan berturut-turut," katanya pada majlis makan malam sempena Imam Fam Trip: Discover Muslim-friendly Malaysia, di sini malam tadi.
Usaha itu juga dibuat berikutan pelan liberalisasi visa Malaysia yang diumumkan baru-baru ini dan sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan pelancongan yang lebih meluas, disokong peruntukan belanjawan khusus RM350 juta pada 2024.
Tiong berkata MOTAC juga komited dalam mewujudkan 'Hab Umrah' serantau di Malaysia.
"Tidak lama lagi, saudara-saudara beragama Islam bukan sahaja dari China, malah dari Asia Tenggara dan kawasan lain juga, akan berpeluang untuk menerokai alam semula jadi, tarikan tradisional dan moden di Malaysia, sebelum atau selepas menunaikan Umrah mereka," katanya.
Mengenai Iman Fam Trip itu, Tiong berkata masanya adalah tepat kerana tahun 2024 juga menandakan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara China dan Malaysia.
"Meraikan lima dekad pertukaran budaya dan pemahaman yang dapat dilihat menerusi itinenari perjalanan ini, para Imam berpeluang untuk memahami budaya, makanan dan gaya hidup orang Islam Malaysia.
"Saya yakin bahawa usaha yang dilakukan oleh ITC dan MICA, akan menjadi permulaan bagi lebih banyak kerjasama di antara organisasi industri. Pemain industri kita mempunyai kepakaran, pengetahuan dan sumber, untuk meneroka bidang lain dalam pasaran pelancongan Muslim yang besar dan berkembang," katanya.
Tiong juga berharap menerusi platform ini, MOTAC akan mampu untuk menarik 1.5 juta pelancong Muslim daripada China tahun ini.
-- BERNAMA