Kesalingbergantungan antara politik dan ekonomi
Hisyam Basabah
Mac 7, 2021 09:41 MYT
Mac 7, 2021 09:41 MYT
KETAMADUNAN manusia didasari oleh kepentingan-kepentingan yang saling bergantungan di antara satu sama lain.
Sebagai makhluk sosial, manusia tidak dapat lari daripada sifat kebergantungan untuk mendapatkan sesuatu demi keperluan mahupun kehendak masing-masing.
Oleh kerana itu elemen politik dan ekonomi menjadi suatu bidang terpenting bagi mencapai matlamat tersebut.
Politik dan ekonomi kemudiannya disebut sebagai politik ekonomi merupakan satu bidang kajian tentang masalah dan isu yang mengkhususkan bidang politik, ekonomi dan sosial secara bersama.
Ketiga-tiga bidang tersebut melalui definisi ini adalah saling berkaitan antara satu sama lain.
Sesuatu dasar politik perlu disandarkan dengan elemen ekonomi yang berperanan menunjangi pengoperasian politik dengan lancar.
Isu-isu mahupun masalah yang mengitari landskap antarabangsa mahupun domestik sesebuah negara memerlukan sebuah pemahaman dan analisis yang jitu bagi mencari jalan penyelesaiannya.
Maka disiplin politik ekonomi menghadirkan kaedah yang bersifat kontemporari.
Masa silam dan masa hadapan adalah dua persoalan utama dalam pengkajian ilmu sains sosial.
Masa silam mewakili asas sains sosial yang tersebar dalam bidang ekonomi, sains politik, sosiologi, sejarah dan falsafah, manakala ia dianggap masa hadapan adalah apabila isu mahupun masalah yang melanda melibatkan komuniti antarabangsa dan multinasional.
Segala isu mahupun masalah itu akan mudah difahami jika menggunakan perspektif dan teori-teori yang terkandung di dalam cabang politik ekonomi.
Pramoedya Ananta Toer menyatakan bahawa politik adalah permainan catur di atas papan bidak yang memerlukan kelicikan, pancingan dan kemampuan melempar umpan untuk mendapatkan keuntungan besar.
Bagi beliau, politik tidak bersifat identik dengan peperangan secara terbuka namun boleh juga melalui konspirasi takah tinggi.
Bagi Kenneth Waltz, sarjana Hubungan Antarabangsa pula menyatakan bahawa politik adalah cara untuk mendapatkan, mempertahankan dan mengekalkan kuasa bagi mencapai tujuan-tujuan tertentu.
Oleh kerana itu, di dalam landskap politik zaman kini, faktor ekonomi menjadi pertimbangan paling utama bagi mencapai, mengekalkan dan meningkatkan kuasa dan ia amat berkait rapat dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pramoedya bahawasanya politik ini memerlukan pengunaan segala sumber secara maksimum bagi mendapatkan keuntungan besar.
Sebagai sebuah negara demokrasi yang mengamalkan demokrasi berparlimen, kestabilan ekonomi negara amat berkait rapat dengan keharmonian politik.
Malaysia telah melalui era kestabilan politik hampir enam dekad melalui kemenangan parti politik yang dominan mewakili kerajaan.
Kemenangan dua pertiga di dalam pilihanraya akan menghadirkan kestabilan dan keharmonian politik kerana parti yang mewakili kerajaan dapat melaksanakan pentadbiran dengan lebih berkesan tanpa perlu terlalu banyak menghabiskan masa dengan dilema politik yang tidak berkesudahan.
Politik adalah berkaitan nombor.
Mana-mana pemimpin yang dilantik menjadi Perdana Menteri memerlukan bilangan ahli yang berhormat untuk menyokongnya.
Buat ketika ini, kerusi dewan rakyat menawarkan sejumlah 222 kerusi parlimen dan parti yang mewakili kerajaan perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 112 kerusi bagi melayakkan mereka mewakili kerajaan.
Namun ia adalah bilangan yang tidak stabil dan pada bila-bila masa sahaja parti yang mewakili kerajaan akan tumbang sekiranya terdapat ahli yang berhormat melompat keluar menyertai pembangkang.
Situasi ini cukup memperlihatkan bahawa majoriti dua pertiga amat perlu bagi menjamin kestabilan politik negara seterusnya kepentingan rakyat dapat dipertahankan.
Terlalu banyak berpolitik boleh menjejaskan ekonomi dan kemakmuran negara.
Negara sedang berada di tahap yang paling mencabar, ekonomi sedang menjunam, ancaman bukan tradisional seperti kesihatan, pelarian, penyeludupan dan siber sedang menggila.
Adalah lebih baik di sela-sela krisis yang sedang menghimpit negara ini sekalian anggota masyarakat tidak kira pangkat menumpukan sepenuhnya kepada pelan pemulihan negara?
Di sebalik krisis yang menghentam negara secara bertubi-tubi, Malaysia sedang kehilangan jumlah pelaburan langsung asing yang agak tinggi.
Banyak syarikat-syarikat asing yang dahulunya berminat untuk melabur atau telah melabur di Malaysia kini mengalihkan tumpuan mereka ke negara Indonesia dan negara-negara ASEAN lain kerana faktor politik yang agak kurang stabil di Malaysia.
Oleh kerana itu, kemajuan ekonomi secara signifikan dipengaruhi oleh politik yang stabil.
Faktor politik yang tidak stabil menjadikan Malaysia mengalami penurunan ketara pelaburan asing yang dikenali sebagai FDI atau Foreign direct investment.
Syarikat asing seperti Hyundai yang dahulunya membuka ibu pejabat rantau Asia Pasifik di Malaysia kini telah berpindah ke Indonesia, Toyota juga dilaporkan merancang untuk membuka pelaburan di Indonesia bagi membangunkan EV bermula tahun 2020 sehingga 2023 sebagai permulaan membabitkan pengeluaran kenderaan hybrid.
Malaysia dilihat ketinggalan dalam menarik pelaburan asing ke negara ini sedangkan sejumlah AS$156 bilion daripada pelaburan langsung asing telah dilaburkan ke rantau Asia Tenggara pada tahun 2020.
Menurut Persidangan perdagangan dan pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, UNCTAD, ketiga-tiga negara itu menerima lebih 80% daripada AS$156 bilion pelaburan langsung asing bilion dengan hanya 5%, atau sekitar RM31.7 bilion (AS$7.8 bilion) sahaja pelaburan langsung asing ke Malaysia.
Jumlah ini amat rendah memandangkan Malaysia adalah negara “tradisi” di rantau Asia Tenggara yang tidak pernah gagal mahupun ketinggalan dalam menarik pelaburan langsung asing ke negara ini.
Syarikat-syarikat asing milik Amerika Syarikat seperti Tesla, Amazon, dan Google menjadikan Indonesia sebagai pilihan pelaburan melalui keyakinan mereka terhadap kepimpinan Joko Widodo yang dilihat berjaya menstabilkan politik Indonesia pasca pilihanraya presiden republik itu.
Perkara ini bertitik tolak dengan kestabilan politik di Indonesia masa kini yang menjadi faktor utama kepada kelancaran jentera pentadbiran mereka.
Apabila politik di sesebuah negara itu stabil, operasi pentadbiran akan berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan politik, seterusnya melahirkan mutu kerja berkualiti yang pastinya menarik minat pelaburan asing untuk melabur di sesebuah negara terbabit.
Situasi Malaysia dan Indonesia ini memberi petunjuk jelas bahawa politik telah memberikan pengaruh kepada pembangunan dan kemakmuran ekonomi sesebuah negara.
Para pelabur akan berfikir dengan teliti sebelum menjalankan pelaburan di sesebuah negara dengan melihat dan menilai risiko yang akan dihadapi oleh mereka.
Sekian lama Malaysia meninggalkan Indonesia jauh di belakang, namun dengan perkembangan dewasa ini telah menunjukkan bahawa ekonomi Indonesia sedang bergerak dengan sangat pantas dan semakin memintas Malaysia.
Tidak boleh tidak, Malaysia perlu meningkatkan prestasinya dalam kestabilan politik, tadbir urus yang baik, rasuah yang rendah, dan penyelarasan promosi dari peringkat tertinggi sebagai indikator terpenting sebagai syarat untuk bangkit semula daripada kemelesetan ekonomi.
Apabila ekonomi kembali pulih, maka secara tidak langsung negara akan mempunyai ketahanan yang ampuh dalam menangani sebarang bentuk ancaman yang boleh mengganggu gugat kedaulatan negara.
Segala-galanya bermula dengan kesedaran pemimpin dan masyarakat itu sendiri.
Adakah segalanya perlu dipolitikkan atau membantu dengan memainkan peranan masing-masing demi negara yang tercinta ini.
Jangan suatu hari nanti rakyat Malaysia terpaksa menjadi buruh dan amah di Republik Indonesia pula!
* Hisyam Basabah merupakan penulis bebas dan penganalisis sosial.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Hisyam Basabah
#Kolumnis AWANI
#Perkaitan politik dan ekonomi
#ketamadunan manusia
#Politik Malaysia
#Malaysia Bangkit