Kesalahan persepsi mengenai minyak sawit di Eropah dan Malaysia

Luqman Hariz
November 5, 2019 19:00 MYT
EU tidak menghentikan penggunaan semua barangan minyak sawit, sebaliknya hanya minyak sawit yang digunakan untuk penjanaan tenaga biofuel.
Langkah Kesatuan Eropah (EU) mengurangkan penggunaan dan import minyak sawit disifatkan sebagai satu keputusan yang terburu-buru.
Menurut Ketua Operasi Eropah Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO), Dr Inke Van Der Sluijs, kelapa sawit tidak patut dikategorikan sebagai tanaman berisiko tinggi menjejaskan alam sekitar dalam Pelan Tenaga Boleh Diperbaharui kesatuan itu.
Pengkategorian ini membawa kepada keputusan EU untuk menghentikan minyak sawit untuk penjanaan tenaga menjelang 2030.
“Pada saya tindakan Suruhanjaya Eropah untuk mengkategorikan minyak sawit sebagai tanaman berisiko tinggi adalah tidak berfikiran jauh, kerana RSPO dan ahli-ahli kami telah bekerja keras untuk mengurangkan jejak karbon tanaman ini.
“Kami tidak tanam di tanah gambut, kami tidak tebang hutan. Kami juga berjaya mengurangkan pencabulan hak asasi manusia (dalam kalangan pekerja yang digaji)," katanya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif RSPO, Datuk Darell Webber, tindakan EU adalah hasil tekanan rakyatnya yang tidak mempunyai persepsi tepat berkenaan tanaman ini.
Katanya, rata-rata rakyat Eropah mengaitkan kemusnahan alam sekitar dan penyebaran jerebu kepada penanaman kelapa sawit.
“Ramai orang melihat kemusnahan alam sekitar ini tidak baik dan mereka mahu menghentikannya, jadi pada mereka cara paling mudah adalah dengan memboikot minyak sawit.
“Tetapi mereka tidak mempunyai kuasa untuk membuat analisis tepat, mereka tidak menyedari kesan negatif daripada niat baik mereka ini,” katanya.
Darell berkata, hanya 0.5 peratus daripada penanam yang berdaftar dengan RSPO mengamalkan pembakaran hutan, dan pihaknya akan terus bertindak tegas kepada penanam yang didapati menjejaskan alam sekitar.
Akibat persepsi negatif, harga kelapa sawit mentah turun dari lebih RM3,000 setan pada 2017 kepada kira-kira RM2,500 setan kini.
Bagaimanapun kata Dr Van Der Sluijs, kesalahan persepsi dalam isu ini turut berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia.
Katanya, EU tidak menghentikan penggunaan semua barangan minyak sawit, sebaliknya hanya minyak sawit yang digunakan untuk penjanaan tenaga biofuel.
“Tidak ada pengharaman produk kelapa sawit untuk kegunaan makanan, penggunaan rumah dan penjagaan diri di Eropah.
“Di India, Malaysia dan Indonesia ada salah tanggapan bahawa Eropah mengharamkan produk, minyak sawit, ini tidak betul.
Katanya, penggunaan kelapa sawit tidak boleh dihentikan secara keseluruhan kerana hasilnya 4 ke 10 kali ganda lebih tinggi daripada tanaman lain.
Ini sekali gus menjadikan kelapa sawit lebih mampan daripada tanaman lain.
Pada masa yang sama, Darell menggesa penanam kelapa sawit tidak risau bahawa tanaman itu akan menjadi tidak relevan pada masa hadapan.
“Ada masa depan untuk minyak sawit, terutamanya untuk makanan. Pada tahun 2050, penduduk dunia akan meningkat lebih 2 bilion orang. Mereka ini kebanyakannya berpendapatan sederhana,” kata Darell.
Katanya, golongan ini akan memakan lebih banyak makanan diproses.
“Mereka juga akan menggunakan lebih banyak produk kosmetik dan produk yang mempunyai minyak sawit di dalamnya.
“Satu-satunya masalah adalah jika kita tidak terus mengamalkan penanaman kelapa sawit lestari, akan ada penolakan oleh masyarakat terhadap minyak sawit oleh semua golongan, termasuk golongan pertengahan,” katanya.
#Dr Inke Van Der Sluijs #EU #Kesatuan Eropah #Ketua Operasi Eropah Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestar #Malaysia #minyak #operasi #rakyat Malaysia #RSPO
;