Kesalahan merokok untuk GEG bukan jenayah, purata denda RM50 sahaja - Khairy

Firdaus Azil
Julai 30, 2022 19:45 MYT
Apabila budaya tidak merokok menjadi norma dalam masyarakat, maka pasaran gelap, dan pasaran halal produk tembakau sendiri tidak akan mempunyai kehendak yang besar. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Kesalahan untuk individu yang tergolong dalam Generational End Game (GEG) – individu yang lahir pada 2007 ke atas dalam aktiviti merokok - tidak akan direkodkan sebagai jenayah, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Katanya lagi, biarpun denda maksimum RM5,000 diperuntukkan untuk golongan tersebut dalam Rang Undang-undang Kawalan Tembakau dan Merokok 2022, namun purata kompaun di bawah peraturan sedia ada serendah RM50, dan purata denda di mahkamah hanya RM200.
Bagi mereka yang terlibat dalam aktiviti menjual rokok, kata Khairy lagi, adalah kes berlainan, namun bagi kesalahan GEG, tiada hukuman penjara, dan tiada pendaftaran di bawah Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang Yang Tidak Diingini 1969.
“Kebiasaannya nilai kompaun hanya RM50. Daripada 10,421 kompaun notis kompaun yang kita keluarkan di bawah Peraturan Kawalan Hasil Tembakau dari 2019 hingga sekarang, untuk orang belum dewasa beli rokok, nilai kompaun adalah RM50.
“Purata nilai denda daripada 145 kes mahkamah iaitu bagi mereka yang tak bayar kompaun, dan hanya bawa ke mahkamah, purata nilai denda yang dikeluarkan RM200.
“(Denda) RM5,000 itu maksimum, that’s just for deterrent dalam undang-undang. Tapi realitinya, purata adalah RM200. Denda paling tinggi dalam sejarah oleh mahkamah kepada orang bawah umur sedia ada, adalah RM300. Tak pernah sampai RM1,000,” katanya lagi.
GEG Rokok | Tiada rekod jenayah, penjara kepada pesalah
BACA: Senarai syor terhadap RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022
BACA: RUU: Larangan rokok, peranti dijual kepada individu lahir 2007 ke atas
RUU tersebut, yang digelar sebagai GEG, telah dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama pada 27 Julai lepas.
Ia antara lain memperuntukkan larangan individu yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya, merokok, membeli atau memilik produk tembakau atau peranti.
Individu dalam kumpulan berkenaan, yang merokok produk tembakau atau produk pengganti tembakau, menggunakan peranti merokok atau memiliki produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok boleh didenda tidak melebihi RM5,000, jika disabitkan kesalahan.
PENGGELEDAHAN, SERBUAN BERMATLAMAT PERANGI GELAP
Dalam pada itu, Khairy berkata, terdapat pihak yang menganggap peruntukan kuasa terhadap pegawai untuk melakukan serbuan di premis, memeriksa telefon dan sebagainya, adalah intimidasi, dan terbuka untuk penyalahgunaan kuasa.
Namun, tegasnya lagi, peruntukan itu tidak mensasarkan golongan GEG, sebaliknya ia diperlukan bagi melawan pasaran gelap berkaitan produk tembakau, termasuk peranti merokok yang tidak sah.
“Untuk memeriksa telefon dan sebagainya, ia bukan untuk kesalahan GEG, ia untuk kesalahan yang ada kaitan dengan larangan produk tembakau, pendaftaran produk tembakau, ini lebih kepada mereka yang tidak berdaftar, yang tidak mengikut undang undang sebagai pengilang, pengimport, dan pengedar.
“Anda bercakap tentang pasaran gelap, jadi mesti ada kuasa tersebut. Kalau tak ada kuasa untuk kita mengambil sample, untuk kita buat penyiasatan, masuk premis, dan sebagainya, bagaimana untuk kita lawan pasaran gelap ini?,” soalnya kembali.
Khairy berkata, peruntukan pegawai yang diberi kuasa bukan sesuatu perkara yang baru, sebaliknya ia merupakan peruntukan yang standard di bawah Kanun Tatacara / Prosedur Jenayah.
“Memang dah ada Kanun Tatacara Jenayah. Mereka yang bangkitkan perkara ini seolah-olah benda ni macam tak wujud dalam Kanun Tatacara Jenayah. RUU ini adalah akta penguatkuasaan, ini adalah peruntukan standard, dan bukan untuk GEG.
“Bukan kita nak geledah phone tengok dia nak beli ke tak. (Peruntukan) ini untuk mereka yang terlibat seperti mana saya sebut tadi - pengilang, pengimport, dan pengedar. Kita nak pastikan dia hanya bawa benda sah. We need to fight the illicit market,” tegasnya lagi.
Mengulas mengenai pasaran gelap berkaitan produk tembakau, Khairy berkata, memang ada peratusan lambakan rokok tidak sah, yang agak besar dalam negara.
“Ada kajian yang telah terdedah, yang ditaja syarikat rokok, menyatakan sampai 60 peratus. Kajian dibuat oleh pakar ekonomi menunjukkan 48 peratus. Kita tahu memang ada peratusan lambakan rokok tidak sah yang agak besar di Malaysia.
“Apa kita akan buat, pertamanya, kita pastikan ada kerjasama antara Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk stamp out illicit market ini,” jelas Khairy.
Katanya lagi, dalam tempoh dua tahun setengah sebelum penguatkuasaan GEG, iaitu pada 2025, kerjasama tersebut akan mengurangkan sebanyak mungkin peratusan pasaran gelap tersebut.
JADIKAN BUDAYA TIDAK MEROKOK SEBAGAI NORMA MASYARAKAT
Selain itu, Khairy berkata, secara logiknya, apabila budaya tidak merokok menjadi norma dalam masyarakat, maka pasaran gelap, dan pasaran halal produk tembakau sendiri tidak akan mempunyai kehendak yang besar.
“Secara logiknya, apabila sudah menjadi norma masyarakat iaitu social norm di kalangan usia 2007 dan seterusnya, bahawa mereka tidak merokok, dan mereka tidak boleh rokok, maka kehendak di kalangan mereka akan menurun.
“Apabila kehendak menurun, kehendak pasaran gelap ini juga akan turun. Sudah tentu akan ada segelintir yang saya percaya dari kalangan minoriti akan mencari rokok, dan akan terus merokok. Kita tak boleh tolak realiti itu akan berlaku. Tapi akan jadi satu norma sosial bahawa mereka memang tak boleh merokok.
“Dan mereka menyalahi peraturan dan undang-undang sekiranya beli rokok. Itu sendiri akan menurunkan kehendak. Kita yakin permintaan rokok sama ada rokok sah dan tak sah akan turun,” katanya lagi.
Khairy berkata, beliau sendiri selaku Menteri Kesihatan, dan bersama kementerian yang lain akan memberi tumpuan sepenuhnya untuk mengecilkan saiz pasaran gelap itu.
#RUU Kawalan Tembakau dan Merokok 2022 #Khairy Jamaluddin #pasaran gelap rokok #kompaun
;