Kesal kes dera amah, Richard harap beku amah tidak dilaksana
Harits Asyraf Hasnan
Februari 18, 2018 14:15 MYT
Februari 18, 2018 14:15 MYT
Kerajaan Malaysia kesal dengan kejadian dera hingga menyebabkan kematian pembantu rumah warga Indonesia, Adelina Lisao di Bukit Mertajam baru-baru ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot memaklumkan beliau telah berhubung dengan rakan sejawatnya dari Indonesia, Hanif Dhakiri untuk menjelaskan situasi semasa.
"Saya telah maklumkan kepada Pak Hanif bahawa Kerajaan Malaysia sentiasa memandang berat kes penderaan melibatkan pekerja asing terutama hingga melibatkan kematian.
"Pastinya kita (Kerajaan) akan membawa suspek ke muka pengadilan dan mendapat hukuman yang sewajarnya," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Beliau yang dijadual berjumpa dengan Hanif dalam masa terdekat turut mengemukakan harapan supaya cadangan kerajaan Indonesia untuk membekukan kemasukan pembantu rumah ke negara ini tidak dilaksanakan.
"Ketika ini masih lagi musim cuti perayaan, tetapi saya merancang untuk mengadakan pertemuan empat mata dan perbincangan bersama beliau dalam masa terdekat.
"Saya juga maklumkan bahawa kita dari Kerajaan Malaysia amat berharap supaya cadangan pembekuan kemasukan pembantu rumah warga Indonesia ke negara ini tidak dilaksanakan," katanya.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan rasa terkilan dengan cadangan kerajaan Indonesia itu.
#amah didera
#amah Indonesia
#Datuk Seri Richard Riot
#Hanif Dakiri
#Indonesia
#Konsulat Indonesia
#Malaysia
#Menteri Sumber Manusia
#Menteri Tenaga Kerja
#pembantu rumah
#pembantu rumah didera
#pembantu rumah mati