Kesahihan video intim perlu didedahkan - Anwar Ibrahim

Firdaus Azil, Hasimi Muhamad
Julai 16, 2019 14:40 MYT
Kesahihan video intim melibatkan bekas Ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dengan individu yang mirip seorang menteri kanan perlu didedahkan kepada umum.
Menurut Presiden PKR, Anwar Ibrahim, perkara itu wajar didedahkan memandangkan rakyat mahu mengetahui kebenarannya selain dalang di sebalik penyebaran beberapa siri video intim yang tular di media sosial.
"Ada dua fasa, satu apakah sahih video itu dan siapa yang sebarkan? Jadi rakyat mahu tahu kedua-dua benda itu," katanya kepada media di Parlimen hari ini.
Ditanya mengenai penahanan reman Haziq dan lima individu pada Isnin, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, barisan kepimpinan parti menyerahkan perkara tersebut kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalankan siasatan lanjut.
Pada Ahad, Mahkamah Majistret membenarkan Haziq serta lima individu lain ditahan reman enam hari bagi membantu siasatan kes video sepasang lelaki mengadakan hubungan intim.
Perintah reman sehingga 20 Julai ini dikeluarkan Majistret Namirah Hanum Mohamed Albaki.
Kesemua mereka direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sebelum itu, Haziq, 27 tahun ditahan bersama dua individu berusia 25 dan 38 tahun di sebuah restoran di Kelana Jaya, Petaling Jaya, sekitar jam 9 Ahad.
Sementara seorang lelaki berusia 36 tahun ditahan di USJ 1, Subang Jaya.
Dalam tangkapan itu polis turut merampas lima telefon bimbit serta kad SIM.
BACA: Video intim: Haziq, lima lagi direman bantu siasatan
#Anwar Ibrahim #Haziq Abdullah Abdul Aziz #kesahihan #PDRM #PKR #video intim
;