"Kesabaran, ketabahan Fauziah contoh buat kami" - Mufti Wilayah kongsi kedukaan Fauziah Nawi
Astro Awani
Oktober 28, 2019 17:53 MYT
Oktober 28, 2019 17:53 MYT
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tidak ketinggalan berduka dengan dugaan pelakon ternama, Fauziah Nawi yang kehilangan anak tercinta, Pitt Hanif dalam kejadian lemas pada Sabtu.
Kepada Fauziah, Zulkifli menyatakan rasa kekaguman beliau pada seniwati itu kerana begitu sabar dan tabah menerima ujian yang hebat.
Bahkan, Fauziah juga, jelas beliau, menjadi contoh buat seluruh masyarakat agar kuat menghadapi kehilangan insan tersayang.
"Buat Hajah Fauziah Nawi dan keluarga, kesabaran dan ketabahan anda semua adalah contoh buat kami.
"Kami juga mendoakan anda sekeluarga supaya terus kuat menghadapi dugaan kehilangan insan yang tersayang. Kita yakin, banyak hikmah-Nya atas setiap musibah yang diberikan oleh-Nya," kata Zulkifli dalam entri Facebook beliau pada Isnin.
Zulkifli juga berkata, video Fauziah yang berkongsi berita sedih pemergian anaknya itu adalah terjemahan sebenar kasih seorang ibu.
"Apa yang berlaku, telah pun berlalu. Saya berharap dan mendoakan semoga kematian almarhum Firdaus termasuk dalam ketentuan syahid akhirat," kata Zulkifli lagi.
Dalam catatan itu juga, Zulkifli turut berkongsi petikan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Orang yang mati syahid lima golongan iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas, ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah.” - Riwayat al-Bukhari (653)
Zulkifli, dalam masa sama juga mengajak masyarakat untuk menghadiahkan Al-Fatihah buat Allahyarham Pitt Hanif.
Allahyarham Pitt Hanif atau nama sebenarnya Mohd Firdaus Mohamad Hanif yang juga pengarah filem lemas pada Sabtu ketika memancing di Sungai Jelai dekat Jambatan Gemunchur Mela, Lipis, Pahang sekitar pukul 1 tengah hari pada Sabtu.
BACA: "Tunggu mama ya Pitt' - Nota Fauziah Nawi undang kesyahduan
#Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
#Fauziah Nawi
#lemas
#meninggal dunia
#Mufti Wilayah Persekutuan
#Pitt Hanif