PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini pada Khamis menetapkan keputusan kes berhubung kematian Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain membabitkan 18 bekas penuntut itu, pada 23 Julai depan.

Hakim, Datuk Hadhariah Syed Ismail menetapkan tarikh berkenaan selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan peguam-peguam yang mewakili semua bekas penuntut yang kini berusia 28 tahun.

Seramai enam daripada 18 bekas penuntut yang disabitkan kesalahan dan dihukum penjara 18 tahun, merayu agar sabitan Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan iaitu mencederakan tanpa niat membunuh Zulfarhan, digantikan kepada Seksyen 330 kanun sama iaitu kesalahan mencederakan dengan hukuman maksimum tujuh penjara sahaja.

Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal; Muhammad Azamuddin Mad Sofi; Muhammad Najib Mohd Razi; Muhammad Afif Najmudin Azahat; Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Bagaimanapun, sekiranya mahkamah mengekalkan hukuman bagi Seksyen 304(a), mereka mohon mahkamah mengurangkan hukuman penjara daripada 18 tahun kepada 12 tahun sahaja.

Sementara baki 12 lagi penuntut yang dikenakan hukuman tiga tahun penjara kerana mencederakan Zulfarhan, memohon supaya mahkamah mengetepikan sabitan dan hukuman berkenaan.

Permohonan silang 12 bekas penuntut UPNM ini dibuat kerana mereka tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mensabit dan menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap mereka kerana mencederakan Zulfarhan.

12 lagi penuntut itu ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail; Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain; Ahmad Shafwan Berdal; Muhammad Amirul Asraff Mala; Luqman Hakim Shamsuri Agus; Muhammad Sufi Mohd Mustapha; Noriznan Izzairi Noor Azhar; Muhamad Ashraf Abdullah; Muhamad Danial Firdaus Azmir; Muhammad Hasif Ismail; Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa.

Bagi pihak pendakwaan pula, memohon mahkamah mengekalkan Seksyen 302 kanun sama, sebagaimana yang dipertuduhkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan peruntukan hukuman gantung mandatori terhadap enam bekas penuntut tersebut.

Mereka juga mohon mahkamah menaikkan hukuman maksimum tujuh tahun penjara terhadap 12 lagi penuntut yang disabitkan atas kesalahan mencederakan Zulfarhan.

Sebelum ini mahkamah menetapkan tiga hari bermula Selasa hingga Khamis untuk prosiding hujahan rayuan semua pihak.

Pada 2 November 2021, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azman Abdullah (kini Hakim Mahkamah Rayuan), menjatuhi enam penuntut hukuman penjara 18 tahun atas tuduhan mencederakan tanpa niat membunuh terhadap Zulfarhan, empat tahun lalu.

Dalam pada itu, lima daripada enam tertuduh (kecuali Mohamad Shobirin) dikehendaki menjalani hukuman penjara tiga tahun atas tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.

Bagaimanapun mahkamah memerintahkan hukuman bagi kedua-dua pertuduhan itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap iaitu 1 Jun 2017.

Lima lelaki itu sebelum ini menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, sementara Abdoul Hakeem didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

Hakim mendapati semua tertuduh itu bersalah atas pertuduhan dengan niat menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan tanpa niat membunuh, mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 30 tahun dan dikenakan denda jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian.

Mereka didapati bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Kesemua bekas penuntut itu didakwa melakukan perbuatan itu di dua bilik, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 21 dan 22 Mei 2017.

Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017. - Sinar Harian