Kes Zika pertama libatkan wanita mengandung dikesan di Johor Bahru
Tan Su Lin
September 7, 2016 15:32 MYT
September 7, 2016 15:32 MYT
Kementerian Kesihatan mengesahkan satu lagi kes baru jangkitan virus Zika melibatkan seorang wanita mengandung di Johor Bahru.
Ia menjadikan jumlah kes jangkitan virus Zika dalam negara setakat ini sebanyak tiga kes.
Menurut menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam wanita berusia 27 tahun itu merupakan kes wanita mengandung pertama dijangkiti virus Zika di Malaysia.
Kandungan wanita berkenaan dipercayai berusia antara tiga hingga empat bulan.
Wanita yang tinggal di Taman Desa Harmoni itu kini dimasukkan ke semua hospital kerajaan di Johor Bahru untuk pemeriksaan lanjut.
Suaminya yang bekerja di Singapura juga disedang diperiksa untuk virus Zika.
"Wanita berkenaan menunjukkan simptom demam, ruam dan sakit-sakit badan. Pemeriksaan yang dilakukan keatasnya menunjukkan bahawa dia positif virus Zika," katanya dalam sidang media khas mengenai virus Zika di sini, hari ini.
Susulan itu, pihak berkuasa mempertingkatkan aktiviti kawalan nyamuk aedes di sekitar kediaman wanita berkenaan.
“Aktiviti kawalan aedes sedang dipertingkatkan di Johor Bahru dan kawasan sekitar rumah wanita berkenaan, setakat ini 400 rumah sudah diperiksa dan diambil tindakan sewajarnya,” katanya lagi.
Kes pertama sebelum ini adalah kes import dari Singapura membabitkan seorang wanita berumur 58 tahun dari Klang, Selangor.
Manakala kes kedua melibatkan kes jangkitan tempatan di Sabah.