Kes zika belum ada impak pada industri pelancongan negara
Bernama
September 7, 2016 15:56 MYT
September 7, 2016 15:56 MYT
Belum ada lagi impak kes Zika pada industri pelancongan negara setakat ini, kata Pengarah Tourism Malaysia (Bahagian Promosi Domestik) Iskandar Mirza Mohd Yusof.
Beliau berkata ini mungkin kerana kes itu sedikit yang mana setakat ini hanya terdapat dua kes Zika disahkan di Malaysia iaitu di Selangor dan Sabah.
"Kes Zika ini boleh berlaku di mana-mana pun dan oleh itu kita perlu berhati-hati dan memantau keadaan," katanya kepada pemberita selepas perasmian seminar Jejak Perwira 2016 oleh Pengerusi Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan Datuk Mohammad Razi Kail di Auditorium Muzium Tentera Darat di sini, hari ini.
Beliau yakin Kementerian Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan mengambil langkah pencegahan bagi membendung penularan virus Zika.
Katanya antara tindakan segera bagi membendung wabak Zika adalah dengan membasmi tempat pembiakan nyamuk Aedes, selain mewujudkan rangkaian pemantauan dan laporan yang efektif.
Virus Zika disebarkan oleh nyamuk Aedes aegypti yang turut membawa penyakit denggi dan chikungunya.
Sementara itu, katanya dari segi pelancongan domestik, seramai 62.7 juta orang rakyat Malaysia melancong dalam negara sendiri pada tahun lepas (2015) iaitu peningkatan 3.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.
"Walaupun ketibaan pelancong asing ke negara kita menurun tahun lepas tetapi kita dapati rakyat negara ini melancong dalam negara sendiri. Jadi kita tahu orang kita tidak berkunjung ke luar negara sangat...mereka melancong dalam negara sendiri.
"Malah, dalam Matta Fair minggu lepas banyak penjualan terhadap pelancongan domestik sendiri. Kita dapat mencapai RM5.7 juta jualan pada tiga hari Matta Fair baru-baru ini," katanya.
"Dari situ kita dapati budaya melancong di kalangan rakyat Malaysia itu memang ada. Oleh kerana sekarang keadaan ekonomi global tidak begitu memberangsangkan, mereka menangguhkan perjalanan ke luar negara, tapi sebaliknya melancong dalam negara sendiri," katanya.