Kes Zayn Rayyan: Maklumat bocor ganggu siasatan polis - Saifuddin

Hasimi Muhamad
Jun 14, 2024 17:57 MYT
Saifuddin berkata, tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab mendedahkan butiran yang didakwa siasatan kes pembunuhan kanak-kanak itu, boleh mengubah tanggapan umum dan menganggu siasatan polis. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) meminta semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terhadap kes pembunuhan kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab mendedahkan butiran yang didakwa siasatan kes pembunuhan kanak-kanak itu, boleh mengubah tanggapan umum dan menganggu siasatan polis.
"Apa pun yang menjadi panduan kita, biarlah daripada sumber pihak berkuasa. Maksudnya, dan jaminan yang diberikan oleh pihak polis, baik Ketua Polis Negara (Tan Sri Razarudin Husain) atau Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain), berulang kali dalam kes Zayn Rayyan.
"Peristiwa itu sudah berlaku beberapa bulan yang lepas, dan dengan perkembangan terbaharu, tentulah dalam proses ini pihak polis (melibatkan) apa sahaja penemuan bukti baharu (akan melakukan siasatan), itu prinsip siasatan kes pembunuhan.
"Jadi dalam perkara ini, saya kata beri ruang kepada pihak polis. Kalau nanti ada di sana dikatakan bocor maklumat dan sebagainya, dia mengubah atau mencipta sentimen sendiri dalam kalangan awam, dan itu memang menganggu siasatan polis," katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.
Beliau sebelum itu hadir Majlis Pemakaian Pangkat Secara Medan dan Posthumous dan Program Penerapan Nilai-Nilai Murni Menteri Dalam Negeri Bersama PDRM di Pusat Latihan Polis Malaysia (Pulapol), di sini.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata seperti ditegaskan Perdana Menteri, siasatan melibatkan kes Zay Rayyan dan insiden simbahan asid terhadap penyerang Selangor FC, Faisal Halim perlu dilakukan secara profesional dan mengikut lunas undang-undang.
"Perdana Menteri nak, ia dilakukan dengan cermat dan hati-hati dan jangan berlaku elemen-elemen yang mencacatkan kualiti penyiasatan.
"Sentiasa ingat bahawa harapan rakyat terutama kes berprofil tinggi adalah tinggi. Mereka mahu individu yang bertanggungjawab itu segera diambil tindakan," ujarnya.
Saifuddin Nasution menambah, tiada sebarang keraguan terhadap kompetensi pihak polis untuk menyelesaikan kes-kes berprofil tinggi dan membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.
#Faisal Halim #Mohd Shuhaily Mohd Zain #Saifuddin Nasution #Zayn Rayyan
;