Kes Zakir Naik: Polis ambil keterangan Ramasamy, Satees

Dewi Nur Harasha Alias
September 11, 2019 12:51 MYT
Ramasamy (kanan) dan Satees (tengah) diambil keterangan di pejabat Timbalan Ketua Menteri II di Bangunan Komtar, hari ini. Astro AWANI
Polis telah mengambil keterangan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy, berhubung laporan polis terhadapnya yang dibuat oleh pendakwah antarabangsa dari India, Dr Zakir Naik.
Pegawai polis dari Bukit Aman tiba di Tingkat 52, bangunan Komtar, di sini, jam 8 pagi dan menunggu lebih satu jam sebelum Ramasamy tiba lebih kurang pukul 9.20 pagi.
Selain Ramasamy, polis turut merekodkan keterangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M Satees.
Keterangan diambil bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.
Polis sebelum ini memaklumkan akan memanggil lima individu termasuk Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran, untuk dirakam percakapan, susulan laporan polis oleh penceramah bebas itu yang mendakwa mereka memfitnahnya.
BACA: Dr Zakir Naik ke Bukit Aman lagi
Pada 16 Ogos lepas, Zakir membuat laporan polis terhadap Kulasegaran serta Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; Satees, Ramasamy dan bekas duta Malaysia, Datuk Dennis Ignatius kerana didakwa memfitnahnya.
Beliau berkata, fitnah berkenaan dibuat berdasarkan kenyataan dalam ceramahnya di Kota Bharu, 3 Ogos lalu.
BACA: 115 laporan polis diterima, Zakir Naik akan dipanggil beri keterangan - Mazlan
Laporan polis Zakir dibuat di Balai Polis Komuniti Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.
Beliau mendakwa, laporan itu dibuat bagi meminta polis menyiasat semua individu berkenaan mengikut Akta Hasutan 1948 atau mana-mana akta berkaitan fitnah yang dibuat terhadapnya.
BACA: Zakir tidak dibenar beri ceramah di semua medium termasuk media sosial - KPN
#ADUN #akta hasutan #Bukit Aman #ceramah #fitnah #kertas siasatan #Kota Bharu #M Kulasegaran #M Satees #mengambil keterangan #P Ramasamy #Peguam Negara #pendakwah #polis #pulau pinang #shah alam #siasatan #Timbalan Ketua Menteri #Zakir Naik
;