Kes Zahid: Selepas DAP, Amanah pula minta Idrus Harun beri penjelasan

Ridauddin Daud
September 5, 2023 14:08 MYT
Amanah menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas prinsip Kedaulatan Undang-undang yang didukung oleh Amanah selama ini.
KUALA LUMPUR: Selepas DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) pula meminta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun memberikan penjelasan berhubung tindakan pendakwaan memberhentikan prosiding yang mendorong kepada keputusan melepas tanpa bebas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Setiausaha Agungnya, Datuk Mohd Hatta Ramli dalam kenyataan pada Selasa menegaskan, penjelasan terperinci oleh Idrus atau Jabatan Peguam Negara mengenai hujah atau alasan kepada keputusan tersebut perlu dibuat.
Menurutnya, Amanah percaya penjelasan terperinci akan dapat memberikan pencerahan kepada semua pihak.
Idrus Harun diminta beri penjelasan kes Ahmad Zahid - Anthony Loke
Tambahnya, ia juga sekali gus mengangkat integriti institusi undang-undang negara khususnya Jabatan Peguam Negara serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam kenyataan sama, Mohd Hatta menegaskan Amanah menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas prinsip Kedaulatan Undang-undang (Rule of Law) yang didukung oleh Amanah selama ini.
“Amanah yakin bahawa proses perundangan dan prosiding mahkamah di sepanjang perjalanan kes ini telah pun dicermati dan diadili oleh Yang Arif Hakim,” katanya dalam kenyataan tersebut.
BACA: Keputusan mahkamah bukti pertuduhan bermotif politik - Ahmad Zahid
Astro AWANI pada Selasa melaporkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, meminta Idrus memberikan penjelasan terbuka kepada rakyat berkenaan faktor yang mendorong kepada keputusan melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri itu.
Menurutnya, DAP menghormati proses dan keputusan mahkamah, namun demi prinsip keadilan dan akauntabiliti penjelasan itu perlu dilakukan.
BACA: Kerajaan hormati, tidak campur tangan kes mahkamah libat Zahid Hamidi - Fadillah
Katanya, DAP mengambil maklum pandangan kritikal daripada pelbagai pihak dan orang ramai terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) 47 kes yang melibatkan Ahmad Zahid.
Tegasnya, penjelasan itu adalah penting untuk memastikan keyakinan orang ramai dan masyarakat antarabangsa terhadap sistem perundangan negara sentiasa terpelihara.
#Amanah #Zahid Hamidi #Idrus Harun #penjelasan
;