Kes wanita mati dijerut: Ikram sedia beri kerjasama bantu siasatan polis
Umavathi Ramayah
Mac 9, 2021 09:16 MYT
Mac 9, 2021 09:16 MYT
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) sedia bekerjasama penuh dengan polis berhubung siasatan seorang kakitangannya yang ditemukan mati dengan kesan jerutan di leher di sebuah rumah di Taman Bangi, Jalan Reko, Kajang, semalam.
Pejabat Setiausaha Agung Ikram dalam kenyataan memaklumkan pihaknya telah memberikan kerjasama diperlukan polis dan akan terus berbuat demikian bagi membantu siasatan.
Pada masa yang sama, Ikram menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi sebagai menghormati perasaan keluarga dan sahabat handai Allahyarham.
"Ikram dikejutkan dengan pemergian seorang kakitangannya, kami mohon orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi.
"Marilah kita sama-sama menitipkan doa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan memperolehi keampunan Ilahi," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mangsa yang berusia 32 tahun itu telah berkhidmat di Ibu Pejabat Ikram sejak 2013 sebagai eksekutif Jabatan Wanita sebelum dilantik sebagai Pengurus Jabatan Advokasi.
Semalam, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata berdasarkan keadaan mangsa, polis percaya mangsa dibunuh lebih 24 jam sebelum mayatnya ditemui.
#IKRAM
#dijerut mati
#Seksyen 302 Kanun Keseksaan
#mati lebih 24 jam
#IPD Kajang
#kesan jerutan di leher
#Taman Bangi
#Jalan Reko
#Pengurus Jabatan Advokasi
#Jabatan Wanita