Kes wanita dihempap balak: Mangsa ditidurkan, tidak mengandung

Sinar Harian
Julai 10, 2024 05:26 MYT
Keadaan motosikal mangsa yang dihempap balak yang terjatuh selepas lori membawa muatan itu terbalik di Gua Musang, semalam. - Gambar fail/ Ihsan pembaca
KOTA BHARU: Tunang kepada mangsa kemalangan lori balak, Nik Amnan Arif Nik Anuar, 22, menafikan Siti Norelyana Kamarulzaman, 21, telah meninggal dunia serta mengandung sebagaimana yang tular serta dilaporkan di media sosial.
Menurutnya, tunangannya itu kini ditidurkan dan masih dalam pemantauan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) dekat sini.
"Saya sangat terkilan dengan apa yang dikongsikan oleh pihak tidak bertanggungjawab berkenaan Siti Norelyana.
"Dia tidak mengandung malah masih lagi hidup," katanya dengan nada sedih ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Menurutnya, ketika ini mereka sekeluarga sedang menunggu keputusan imbasan tomografi berkomputer kali kedua yang dilakukan di HRPZII.
Nik Amnan Arif memohon kepada orang ramai untuk mendoakan semoga Siti Norelyana cepat sedar dan pulih seperti sedia kala.
Wanita terbabit dilaporkan mengalami patah tulang punggung dan tulang rusuk serta kecederaan serius pada hati, limpa dan hempedu serta usus.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan, seorang wanita hampir maut apabila motosikal yang ditunggangnya dihempap kayu balak dalam kejadian di Persimpangan Bendahara Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang.
Kejadian jam 11.23 pagi itu berlaku apabila lori membawa muatan kayu balak terbabit terbalik ketika mengambil selekoh.
Difahamkan semasa kejadian Siti Norelyana dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Bandar Utama Gua Musang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Sik Choon Foo berkata, 'turn-table' patah menjadi punca kepada sebuah lori yang membawa muatan balak terbalik lalu menghempap motosikal yang ditunggangi wanita terbabit.
Pada masa sama kayu balak itu turut mengenai sebuah kereta jenis Toyota Vios yang berhenti di persimpangan itu semasa lampu isyarat merah.
Ia berdasarkan maklumat siasatan awal yang diperoleh, bagaimanapun pemandu treler dan kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan. - Sinar Harian
#lori balak terbalik #kes dihempap balak #Gua Musang #identiti mangsa