Kes video intim: Biar polis siasat - Anwar

Bernama
Jun 17, 2019 01:17 MYT
Ditanya mengenai keutuhan PKR berhubung insiden ini kerana terdapat dakwaan wujudnya perpecahan dalam parti, Anwar menegaskan bahawa parti itu masih kukuh. - Gambar fail
Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin mengulangi pendirian parti dalam menyerahkan siasatan berkaitan kes penyebaran video intim yang dikaitkan dengan seorang menteri, kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya beliau tidak mahu membuat apa-apa spekulasi mengenai kes itu dan terpulang kepada kebijaksanaan PDRM dalam menyelesaikannya.
"Perkara ini telah saya umum, iaitu serah kepada PDRM. Saya tidak mahu buat apa-apa telahan, tapi yang sahnya kita akan dengar daripada PDRM," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim Malaysia (Mimcoin) di Dewan Sivik, Petaling Jaya, pada Isnin.
Anwar berkata demikian sebagai mengulas laporan berita media Australia hari ini yang mengatakan tiada sebarang pengubahan digital mahupun manipulasi foto dalam video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri.
Laporan itu turut menyebut pakar luar negara yang menganalisa video terbabit tidak dapat mengesahkan sama ada individu dalam video tersebut ialah menteri berkenaan.
Ditanya mengenai keutuhan parti berhubung insiden ini kerana terdapat dakwaan wujudnya perpecahan dalam parti, Anwar menegaskan bahawa parti itu masih kukuh.
-- BERNAMA
#Aidilfitri #analisa video #Anwar Ibrahim #media Australia #menteri #PDRM #perpecahan dalam parti #PKR #polis #Polis Diraja Malaysia #siasatan #spekulasi #video #video intim #video lucah #video seks
;