Kes ustazah hilang: Hanya berbekal roti, air dan al-Quran
Abd Razak Mohd Ali
Januari 17, 2019 06:29 MYT
Januari 17, 2019 06:29 MYT
Seorang ustazah yang dilaporkan hilang di Balik Pulau, Pulau Pinang, sejak Isnin lalu, dikatakan hanya makan roti dan minum air mineral sebelum muncul di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar, Perak, pada Khamis.
Sepanjang hampir empat hari itu, Nurfarhana Ibrahim, 27 tahun, juga dipercayai tidur di beberapa surau dan banyak menghabiskan masa berjalan kaki.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, ACP Razali Ibrahim berkata, guru agama itu muncul di IPD Kuala Kangsar kira-kira pukul 3.15 petang Khamis.
Berdasarkan soal siasat, wanita itu dikatakan hanya 'sedar' ketika berada di Padang Rengas.
"Setakat ini, kita tidak boleh cakap dengan jelas apa yang berlaku pada dia. Cuma yang pasti, dia kata, bila dia sedar, dia berada di Padang Rengas.
"Dari Padang Rengas, dia naik bas ke Kuala Kangsar, turun di depan hospital. Dari hospital dia berjalan kaki menuju ke IPD Kuala Kangsar," kata Razali.
Menurutnya, ketika ditemui, Nurfarhana kelihatan letih tetapi ceria.
"Dia agak letih sedikit tetapi tiada apa-apa kecederaan. Dia dalam keadaan selamat dan normal, dia agak ceria dan gembira berjumpa suaminya. Dia juga berkata tidak sabar untuk balik dan menemui anaknya.
"Tindakan lanjut, mungkin seperti pemeriksaan doktor, akan ditentukan oleh pihak polis Balik Pulau memandangkan laporan dibuat di sana," ujar Razali.
Tambahnya, ustazah itu juga tidak membawa apa-apa dokumen ketika keluar dari Sekolah Kebangsaan Genting, Balik Pulau di mana dia mengajar Pendidikan Agama Islam.
Berdasarkan soal siasat, dia hanya berbekalkan wang yang berada di dalam poketnya, di samping senaskhah al-Quran di dalam beg yang dibawa.
Nurfarhana diserahkan kepada ahli keluarga sebaik sahaja suaminya tiba untuk membuat pengesahan kira-kira pukul 5.30 petang.
#Alor Setar
#Balik Pulau
#guru
#hilang
#Kuala Kangsar
#Nurfarhana Ibrahim
#Padang Rengas
#polis
#Razali Ibrahim
#sekolah
#ustazah