Kes tular: Pemuda OKU mengaku bersalah cabul kanak-kanak di masjid
Sinar Harian
Februari 27, 2025 12:30 MYT
Februari 27, 2025 12:30 MYT
Muhamad Adam dibawa ke Mahkamah Sesyen Ampang pada Khamis. - Gambar/ Sinar Harian
AMPANG: Seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) yang tular mencabul kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di masjid minggu lalu, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal.
Ringkasan AI
- Pengakuan Bersalah: Muhamad Adam Haiqal Abdullah, seorang pemuda OKU, mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di sebuah masjid di Batang Kali.
- Proses Mahkamah: Hukuman akan diputuskan pada 27 Mac selepas mahkamah menerima laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Timbalan Pendakwa Raya mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan syarat tertentu.
- dan Tangkapan: Kejadian berlaku pada 21 Februari, di mana mangsa sedang solat di masjid. Rakaman CCTV menunjukkan suspek mencabul mangsa. Suspek ditahan pada hari yang sama selepas laporan dibuat kepada polis.
Muhamad Adam Haiqal Abdullah, 19, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Norshila Kamarudin.
"Betul, faham, mengaku bersalah," katanya.
Bagaimanapun, hukuman terhadap pesalah muda ini akan diputuskan pada 27 Mac depan, selepas mahkamah mendapat laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun lapan bulan, bagi maksud seksual di sebuah masjid di Batang Kali di sini, pada jam 6.20 pagi, 21 Februari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 boleh dihukum bawah Seksyen 14 akta sama, membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurfadzlin Madmad Zulhasnan mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.
"Ia termasuk melaporkan diri di balai polis dan tidak mengganggu saksi serta mangsa, bagi mengelakkan kejadian sama berulang," katanya.
Selepas mendapati tiada waris tertuduh hadir untuk membuat jaminan, mahkamah menetapkan 27 Mac depan untuk laporan sosial terbabit.
Pada Jumaat minggu lalu, Polis Hulu Selangor menerima laporan pada jam 8.19 pagi berhubung kejadian yang tular di media sosial itu, sebelum suspek ditahan pada hari yang sama di sekitar Batang Kali.
Ketika kejadian, mangsa sedang menunaikan solat di saf belakang ruang solat wanita di masjid berkenaan.
Dalam kejadian itu, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan seorang lelaki menyelinap masuk ke ruang solat wanita sebelum memeluk seorang kanak-kanak yang sedang sujud dari arah belakang ketika jemaah lain sedang menunaikan solat Subuh.
Berdasarkan rakaman itu, lelaki terbabit mengangkat mangsa dan membawanya ke ruangan lain sebelum dipercayai dicabul.
Mangsa dapat melepaskan diri selepas bergelut dengan suspek.
Sinar Harian pada 22 Februari lalu melaporkan JKM mengesahkan lelaki terbabit memiliki kad OKU masalah pembelajaran.
Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim berkata, pemeriksaan dan semakan mendapati individu terbabit mempunyai kad OKU sejak kecil lagi. - Sinar Harian