Kes tular: Mekanik tidak mengaku pukul anjing sendiri guna tukul besi

Abd Razak Mohd Ali
Februari 12, 2025 12:50 MYT
Tertuduh didakwa dengan kejam memukul seekor anjing jantan baka Pit Bull kacukan bewarna putih coklat dengan tukul besi hingga menyebabkan kecederaan. - Gambar/ Astro AWANI
IPOH: Seorang mekanik motosikal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan memukul seekor anjing jantan baka Pit Bull, dengan tukul besi, bulan lalu.
Tertuduh, Hiew Kan Wai, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Kantonis di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.
Mengikut pertuduhan, bapa dua anak itu didakwa dengan kejam memukul seekor anjing jantan baka Pit Bull kacukan bewarna putih coklat dengan tukul besi hingga menyebabkan kecederaan.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan sebuah rumah di Taman Ria, dalam Daerah Kinta kira-kira jam 8 malam, pada 18 Januari lalu.
Dia didakwa di bawah Subseksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) Akta yang memperuntukkan denda tidak kurang RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara selama sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu'aini Khalifah menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Malaysia (YBGM) M. Kathah memohon jaminan minima kerana berpendapatan RM2,000 sebulan dan menanggung isteri, dua anak kandung, empat anak saudara selepas abangnya meninggal dunia, di samping ibu yang sudah tua.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin di samping syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan, sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 11 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula dan lantikan peguam.
Pada 20 Januari, media melaporkan seorang mekanik ditahan kerana disyaki memukul seekor anjing peliharaannya menggunakan tukul besi di sebuah taman perumahan di Taman Ria, Ipoh.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata tangkapan ke atas lelaki berusia 42 tahun itu dilakukan setelah laporan polis dibuat oleh pengadu yang melihat rakaman video kejadian berkenaan di laman Facebook.
Anjing berkenaan telah diselamatkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DSV) negeri bagi tujuan rawatan dan senjata serta baju yang dipakai suspek semasa kejadian turut dirampas.
#pukul anjing #video tular #kes mahkamah #tukul besi
;