Kes tular: Gaduh dalam restoran, 4 rakan sekerja didenda RM1,000

Bernama
Februari 14, 2024 18:16 MYT
Majistret menjatuhkan hukuman itu selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan dan memerintahkan mereka dipenjara sebulan, jika gagal membayar denda. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Empat rakan sekerja yang terlibat dalam insiden pergaduhan di sebuah restoran makanan segera yang tular di media sosial baru-baru ini, masing-masing didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret M.S Arunjothy menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Raziman, Muhammad Nur Hafizuddin Ahmad Kasim, Aidil Idham Kassim dan Mohammad Taufiq Muhammad Azman selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan dan memerintahkan mereka dipenjara sebulan, jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka yang berusia 21 tahun terbabit didakwa bersama-sama enam lagi yang masih bebas sebagai satu kumpulan menyalahi undang-undang telah berhimpun bagi tujuan bergaduh dan melakukan kekerasan serta keganasan di sebuah restoran makanan segera di Bukit Bintang pada 8.20 malam, 4 Feb lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Keempat-empat tertuduh membayar denda itu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Hafiezah Mohamed Fauzi memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap keempat-empat tertuduh, namun peguam Ashraf Fahmi Abdul Aziz yang mewakili kesemua mereka memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya menanggung keluarga selain memberikan kerjasama kepada polis sepanjang siasatan dijalankan.
Sementara itu, seorang warga Afghanistan Obaidullah Mohseni, 32, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.
Bagaimanapun, Arunjothy tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 22 Mac ini untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA
#kes tular #bergaduh #restoran makanan segera #hukuman mahkamah
;