Kes tujuh individu bunuh Kevin Morais dipindah ke Mahkamah Tinggi

Bernama
Januari 7, 2016 13:06 MYT
Kes tujuh lelaki termasuk seorang doktor tentera yang didakwa membunuh dan bersubahat membunuh Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais (gambar) dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. -Gambar fail
Kes tujuh lelaki termasuk seorang doktor tentera yang didakwa membunuh dan bersubahat membunuh Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais, hari ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini.
Majistret Siti Radzeah Kamarudin memindahkan kes itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Abdul Razak Musa mengemukakan surat izin pihak pendakwa kepada mahkamah bagi kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Abdul Razak ketika ditemui pemberita berkata tarikh baharu sebutan kes akan ditetapkan Mahkamah Tinggi.
Enam lelaki iaitu G. Gunasekaran, 43; R. Dinishwaran, 23; A. Thinesh Kumar, 22; M. Vishwanath, 25; S. Nimalan, 22; dan S. Ravichandaran, 34, didakwa membunuh Kevin yang dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya Sentul ke No. 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya antara jam 7 pagi dan 8 malam pada 4 Sept 2015.
Pakar Patologi Kolonel Dr. R. Kunaseegaran, 52, pula didakwa bersubahat dengan enam lelaki itu membunuh Kevin di tempat, tarikh dan pada masa yang sama.
Kunaseegaran didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama-sama Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala enam lelaki tersebut didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Peguam M. Manoharan dan P. Rajagopal mewakili keenam-enam lelaki berkenaan, sementara Datuk S. Sivananthan mewakili Kunaseegaran, manakala Datuk Simon Sabapathy bertindak sebagai peguam pemerhati bagi adik bongsu mendiang, Datuk Richard Dilaan Morais.
Semalam, Mahkamah Majistret Petaling Jaya memindahkan kes seorang mekanik yang didakwa bersubahat dengan enam lelaki itu membunuh Kevin, ke Mahkamah Tinggi Shah Alam
Mayat Kevin, 55, ditemui di dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, dekat sini pada 16 Sept tahun lepas.
Mendiang dilaporkan hilang pada 4 Sept dan kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta di sini untuk ke Putrajaya menaiki kereta Proton Perdana dengan nombor pendaftaran WA6264Q.
#Abdul Razak Musa #Anthony Kevin Morais #doktor tentera #Kunaseegaran #Siti Radzeah
;