Kes tuhan Harun dan pengikut bunuh pegawai JAIP dibicara serentak
Bernama
Jun 23, 2014 14:03 MYT
Jun 23, 2014 14:03 MYT
Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan perbicaraan serentak kes bunuh Ketua Penolong Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Ahmad Raffli Abd Malek membabitkan ketua ajaran sesat 'Tuhan Harun', Harun Mat Saat dan lima pengikutnya bermula Oktober.
Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahman membuat keputusan itu selepas permohonan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Khamizah Salleh.
Hakim Ab Karim menetapkan tarikh perbicaraan kes itu pada 27 hingga 31 Okt.
Harun, 48, bersama isteri ketiganya, Azida Mohd Zol, 31; pemandu Harun, Shaizral Eddie Nizam Shaari, 38; dan tiga lagi pengikutnya, Jefferi Safar, 37, Sumustapha Suradi, 39; Shamsinar Abdul Halim, 37, dan seorang lagi yang masih bebas, dituduh melakukan konspirasi jenayah dengan bersetuju antara mereka dengan niat membunuh Ahmad Raffli pada 10 Nov tahun lepas.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di rumah mangsa di Nombor 7, Lorong IM 2/29, Bandar Indera Mahkota di sini kira-kira pukul 1.50 tengah hari, 10 Nov 2013.
Sumustapha, Shamsinar dan seorang lagi yang masih bebas juga dituduh membunuh Ahmad Raffli pada tempat, tarikh dan masa yang sama.
Kesemua tertuduh yang diwakili peguam Hermes Media Putra Ibrahim berdepan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.