Kes tipu tempahan inap desa dalam talian berulang

Nur Fazlizai Ali
September 3, 2022 07:00 MYT
Rohaimi berkata, pihaknya masih menyiasat kejadian terbabit dan berharap orang ramai yang ingin membuat tempahan inap desa di negeri itu supaya lebih berhati-hati. - Foto fail/BERNAMA
HULU TERENGGANU: Polis Terengganu mengesan kes penipuan inap desa kembali berulang di negeri itu pada musim cuti persekolahan yang bermula Jumaat lalu.
Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian itu yang melibatkan kerugian RM2,900 susulan rumah yang ditawarkan bukan milik individu sebenar.
Katanya, suspek dipercayai menggunakan helah dengan mengiklankan inap desa milik orang lain dan meletakkan nombor telefon miliknya.
"Kita faham apabila musim cuti sekolah, Terengganu merupakan salah satu destinasi utama untuk mereka datang melancong.
"Bagaimanapun, ada kejadian yang berulang lagi di mana di musim yang lalu banyak terdapat kes yang melibatkan penipuan sewaan homestay.
"Maksudnya, di sini mereka membuat tempahan dalam talian, bagaimanapun yang diiklankan itu adalah berbentuk menipu," katanya.
Beliau berkata, mangsa dikatakan menyewa inap desa untuk rakannya yang akan bertandang ke negeri itu namun rumah yang ditawarkan itu bukan milik sebenar suspek.
Justeru, pihaknya masih menyiasat kejadian terbabit dan berharap orang ramai yang ingin membuat tempahan inap desa di negeri itu supaya lebih berhati-hati.
Katanya, mereka juga perlu lebih berwaspada dan membuat penilaian secara mendalam sebelum menempah serta membuat pembayaran bagi mengelakkan terjerat dengan kes penipuan seperti itu.
#inap desa #tipu #tempahan dalam talian #Rohaimi Md Isa
;