Kes tikam Sungai Petani, remaja ditangkap

Adie Sufian Zulkefli
Disember 7, 2017 19:56 MYT
Suspek dipercayai bertindak menikam mangsa di sebelah kiri dada akibat tekanan dengan bebanan hutang RM2,000 yang gagal dijelaskan. - Gambar hiasan
Polis percaya kes seorang lelaki mati ditikam di Taman Arked di sini dua hari lalu telah berjaya diselesaikan dengan penangkapan seorang suspek berusia 19 tahun.
Suspek ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik, tengah hari semalam.
Siang tadi, suspek direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, SAC Mior Farid Al Athrash Wahid, siasatan awal polis mendapati suspek bertindak menikam mangsa di sebelah kiri dada akibat tekanan dengan bebanan hutang RM2,000 yang gagal dijelaskan.
BACA: Lelaki maut ditikam di dada, kereta dibakar
Katanya, suspek yang bekerja sebagai penjual ikan berhutang dengan mangsa, Liu Chee Wei, 25, dan perlu membayarnya RM26 setiap hari.
Difahamkan, pada hari kejadian, berlaku pergelutan di dalam kereta antara mangsa dengan suspek ketika berbincang mengenai pembayaran hutang sebelum mangsa ditikam.
Mayat Liu ditemui berlumuran darah oleh orang awam selepas mereka terdengar suara orang mengerang kesakitan di lorong belakang di tempat kejadian.
Sebuah Perodua Axia yang digunakan mangsa juga turut dibakar ditemui di kawasan semak tidak jauh dari tempat mangsa ditemui.
Sementara itu, siang tadi anggota polis dari Unit Forensik IPD Kuala Muda melakukan pencarian pisau yang digunakan suspek untuk menikam mangsa.
Pisau terbabit dibuang ke dalam tali air yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
#ditikam #kes tikam #mati dibunuh #Sungai Petani #Taman Arked Sungai Petani
;