Kes tertukar bayi: 'Saya mahu pembuktian melalui ujian DNA' - bapa bayi
Adie Sufian Zulkefli
Januari 8, 2016 18:31 MYT
Januari 8, 2016 18:31 MYT
Pasangan yang tertukar bayi susulan kecuaian sebuah pusat perubatan di sini, memaklumkan masih menunggu keputusan ujian DNA bagi mengesahkan identiti anak mereka.
Pusat perubatan itu turut memaklumkan akan bertanggungjawab bagi segala urusan sepanjang tempoh menunggu ujian pengesahan berkenaan.
Bapa kepada bayi berkenaan, Nik Ahmad Sabri Mohamad Yusoff berkata ujian DNA merupakan langkah terbaik biarpun terpaksa menunggu 12 hari bagi mendapatkan keputusan.
"Saya memang dah dapat kembali anak saya, tetapi saya hanya mahu pembuktian melalui ujian DNA.
BACA: Jabatan Kesihatan Negeri diarah siasat kes bayi bertukar - Exco
"Bagi saya ini penting bagi mengelak sebarang masalah perundangan terutamanya dalam hal tuntutan anak di masa akan datang," katanya kepada Astro Awani di sini hari ini.
Nik Ahmad pada masa sama belum memberi nama kepada bayinya dan turut berharap pihak Jabatan Pendaftaran Negara dapat memberikan kelonggaran kepadanya untuk mendaftarkan kelahiran selagi belum menerima keputusan ujian DNA.
Sementara itu, laporan Astro AWANI berhubung kes bayi tertukar pada Januari 7 tidak merujuk kejadian sebagai berlaku di mana-mana pusat rawatan swasta tertentu di negeri itu. Tajuk berita (yang telah diperkemas) sebagaimana yang dipaparkan hanya menyebut kekeliruan hanya berlaku di sebuah pusat perubatan di Kedah.