Kes terbaharu jangkitan Zika di Sabah

Tan Su Lin
Oktober 1, 2016 06:56 MYT
Pesakit yang disyaki mengidap jangkitan Zika itu disahkan positif selepas menjalani ujian sampel darah dan air kencing di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan satu kes terbaharu jangkitan Zika melibatkan seorang wanita berumur 60 tahun di Kota Kinabalu, Sabah.
Kes kedua bagi negeri itu sekaligus menjadikan jumlah kes yang disahkan positif Zika di seluruh negara kepada tujuh kes, setakat ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan memaklumkan, pesakit terbabit mengalami gejala ruam dan telah mendapatkan rawatan di hospital swasta pada 25 September.
Pesakit yang disyaki mengidap jangkitan Zika itu disahkan positif selepas menjalani ujian sampel darah dan air kencing di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).
Hasil siasatan lanjut mendapati pesakit berkenaan tidak pernah melawat negara yang endemik jangkitan Zika atau berjumpa dengan mana-mana pesakit Zika.
Suami serta anak pesakit yang tinggal serumah bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang gejala dan tanda-tanda Zika.
Susulan itu, aktiviti kawalan Aedes dijalankan ke atas 258 buah premis di lokaliti kediaman dan tempat-tempat lain yang pernah dilawati pesakit itu.
#kes terbaharu #KKM #Kota Kinabalu #Sabah #Zika