Kes tembakan di KLIA bermotif peribadi

Sinar Harian
April 16, 2024 14:16 MYT
Mohd Shuhaily pada sidang media berkenaan tangkapan seorang suspek kes tembak Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan pada Selasa. - Foto Bernama
KOTA BHARU: Polis mengesahkan kes tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada Ahad bermotifkan hal peribadi di antara suspek dan mangsa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, buat masa ini tidak ada motif lain selain daripada hal peribadi.
"Maklumat yang saya ada motif masih lagi berkisar hal peribadi antara suspek dan mangsa," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Selasa.
Menurut beliau, polis turut merampas sepucuk pistol jenis Glock 19 Austria dan 32 butir peluru yang dipercayai dibeli secara haram dari negara jiran.
Ujarnya, polis bagaimanapun masih menyiasat sama ada pistol tersebut merupakan senjata yang digunakan dalam kejadian tersebut atau sebaliknya.
“Kereta yang digunakan oleh suspek juga masih sama iaitu Honda Civic, namun telah ditukarkan nombor pendaftaran," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang lelaki bertindak nekad melepaskan tembakan kepada isterinya sebelum terkena individu lain dalam kejadian di Balai Ketibaan KLIA pada Ahad.
Mangsa dipercayai seorang pengawal peribadi itu parah akibat terkena tembakan berkenaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.15 pagi.
Menurutnya, siasatan mendapati kejadian melibatkan seorang lelaki tempatan yang melepaskan tembakan kepada isterinya. - Sinar Harian
#kes tembak KLIA #idensiti suspek #motif kejadian #cuba tembak isteri
;