Kes tembakan APMM: Malaysia-Indonesia selesai secara damai - Saifuddin
Khalis Khadir
Mac 4, 2025 22:36 MYT
Mac 4, 2025 22:36 MYT
Saifuddin berkata, kejayaan ini hasil rundingan beliau ke Jakarta pada Februari lalu ketika bertemu Yusril Mahendra dan berdialog menjawab segala persoalan. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Malaysia dan Indonesia sepakat menyelesaikan insiden tembakan di perairan Tanjung Rhu, Selangor secara damai bagi memastikan hubungan diplomatik kekal terpelihara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kejayaan itu hasil rundingan beliau ke Jakarta pada Februari lalu.
Katanya, beliau mengadakan pertemuan dengan Menteri Koordinator Undang-Undang, Hak Asasi Manusia, Imigresen dan Kemasyarakatan Indonesia, Yusril Ihza Mahendra bagi meredakan ketegangan yang berlaku.
“Kita berterus-terang bahawa ia adalah insiden penyeludupan migran, ini bukan soal membabitkan pendatang asing tanpa izin yang biasa.
“Buktinya, tangkapan dan soal siasat setakat ini membawa kes itu kepada jenayah di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007, ia jenayah serius,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Iftar Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Pengamal Media, di sini, pada Selasa.
Jelasnya, antara yang turut serta dalam lawatan itu adalah Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
“Selepas pertemuan itu, suasana semakin reda kerana kita berterus-terang dan tidak menyembunyikan fakta. Anggota kita berdepan ancaman nyawa ketika menjalankan tugas tapi kalau berdepan masalah, pendirian kita adalah berterus-terang, itu prinsipnya,” ujarnya.
Sementara itu, beliau sekali lagi berkongsi komitmen KDN yang sedang meneliti 73 kesalahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Langkah itu selaras dengan keputusan Jemaah Menteri yang mengarahkan KDN melakukan semakan terhadap akta berkenaan baru-baru ini.
“Antara tumpuan kita ialah Seksyen 30 SOSMA yang mengatakan selama seseorang itu ditahan melepasi 28 hari, dituduh ke mahkamah dan dibicara di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
“Sehingga proses itu selesai, seseorang yang ditahan itu tetap berada dalam penjara. Ini juga seksyen yang melalui libat urus kita dan hasilnya banyak pandangan yang mengatakan ada kewajaran untuk disemak semula,” katanya.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan, kadar pendaftaran MyDigital ID dijangka meningkat pada suku kedua tahun ini susulan strategi yang diambil Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai agensi utama pelaksanaan prapendaftaran.
Jelasnya, rakyat Malaysia seawal umur 12 tahun akan didaftarkan secara automatik dalam sistem MyDigital ID.