Kes tembak Taman OUG, tiga suspek didakwa Jumaat - Polis
Bernama
Julai 28, 2016 22:53 MYT
Julai 28, 2016 22:53 MYT
Tiga suspek akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur esok dalam kes ejen hartanah wanita maut ditembak di Jalan Hujan Emas 4, Taman OUG di sini pada 6 Julai lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata empat lagi suspek akan didakwa secara berperingkat kerana mereka dihantar ke Perak terlebih dahulu untuk siasatan beberapa kes yang dilaporkan di negeri itu.
Amar Singh berkata ketujuh-tujuh suspek itu akan didakwa di bawah Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan.
"Dalam kes ini, 10 suspek telah ditahan dan hanya tujuh akan didakwa manakala tiga lagi akan menjadi saksi pendakwaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
"Kita sudah melengkapkan kertas siasatan dan telah mendapat arahan daripada Pejabat Peguam Negara untuk menuduh suspek. Dengan ini, kes tembak di Taman OUG berjaya diselesaikan," jelasnya.
Dalam kejadian itu, wanita berusia 32 tahun itu maut di lokasi kejadian manakala seorang anaknya cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka ditembak dalam kejadian yang berlaku kira-kira 2.30 petang.