Kes tembak OUG: Tujuh didakwa bunuh dan bersubahat bunuh ejen hartanah
Astro Awani
Julai 29, 2016 17:45 MYT
Julai 29, 2016 17:45 MYT
Enam lelaki dan seorang wanita dihadapkan ke mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Jumaat atas tuduhan membunuh dan bersubahat membunuh dalam kes tembak mati seorang ejen hartanah awal bulan ini.
M. Pal Ganapathy dan S.Vijendran didakwa membunuh Datin Wong Siew Ling antara pukul 2 hingga 2.30 petang, 6 Julai lalu di Jalan Emas 4, Overseas Union Garden, OUG, off Jalan Klang Lama.
Sementara itu, K. Sri Kanapathy, Chen Yuen Ming, Chin Kok Leong dan Liew Lai Chen didakwa bersubahat dengan kedua-dua lelaki tersebut untuk melakukan pembunuhan.
Seorang lagi tertuduh, K. Sattiyarad yang turut dituduh bersubahat akan didakwa di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana sedang menerima rawatan selepas disyaki menghidap denggi.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh.
Dalam kejadian 6 Julai itu, wanita berusia 32 tahun itu maut di lokasi kejadian manakala seorang anaknya cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka ditembak dalam kejadian yang berlaku kira-kira 2.30 petang.