Kes tembak melibatkan Datuk dan pengawal peribadi selesai - polis
Dewi Nur Harasha Alias
Disember 2, 2016 08:32 MYT
Disember 2, 2016 08:32 MYT
Polis menganggap kes tembakan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Ching Eu di sini petang semalam selesai dengan tangkapan yang dibuat ke atas suspek yang terlibat.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Senior Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, dalam kejadian itu, mangsa yang dikenali sebagai Datuk Ong Teik Kwong, 32, serta dua individu maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kepala.
Mereka ialah Senthil Murugiah, 38, dan Choi Hon Ming, 32.
Zainol berkata, suspek berusia dalam lingkungan 40-an melepaskan tembakan ke arah mangsa, ahli perniagaan berpangkat Datuk, yang sedang memandu kereta jenis BMW.
"Punca kejadian masih dalam siasatan. Mangsa merupakan seorang Datuk. Suspek telah pun ditangkap dan kes kita anggap selesai. Motif masih dalam siasatan.
"Dalam kejadian ini, suspek telah menembak Datuk tersebut. Rakan kepada Datuk telah keluar, lari, dan suspek mengejar dan melepaskan tembakan, itu menyebabkan telah terkena orang awam yang berhampiran.
"Suspek satu kereta dengan mangsa. Dia pengawal peribadi mangsa tetapi bukan merupakan 'bodyguard' di mana-mana syarikat pengawal keselamatan," katanya kepada pemberita.
Suspek dikatakan turut cuba melepaskan tembakan ke arah rakannya yang berada dalam kenderaan yang sama, namun tersasar dan mengenai dua orang awam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam Khamis itu, tembakan rambang yang dilepaskan mengenai petugas media dan seorang individu lain yang berada berdekatan tempat kejadian.
Jurukamera sambilan RTM, Muhammad Amirul Amin Mohd Amir, 28, dan pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) Nurul Huda Abdul Aziz, 38, yang cedera itu kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP).
Seorang saksi kejadian yang ketika itu bersama Muhammad Amirul berkata, ketika kejadian beliau dan rakannya itu menaiki motosikal dalam perjalanan ke majlis perasmian Pesta Pulau Pinang di Sungai Nibong.
Menceritakan detik cemas itu, Mohamad Iskandar Othman berkata mereka memberhentikan motosikal di tepi jalan berkenaan selepas melihat sebuah kereta sedang berasap di bahu jalan.
"Sampai di tempat kejadian, kami nampak keadaan jalan sesak, ada sebuah kereta berasap. Kami berhenti, pada mulanya hendak cuba memberi bantuan.
"Di sebelah tepi jalan, saya nampak seorang lelaki sedang duduk dan seorang lelaki lain sedang mengacukan pistol ke arahnya.
"Saya jerit kepada Amirul, jangan pergi situ! Waktu saya jerit, lelaki itu terus menembak Amirul, dan saya melarikan diri.
"Dia melepaskan tembakan rambang. Amirul tak sempat lari. Dia ditembak dari hadapan, pada jarak kurang 10 meter," katanya kepada pemberita.
Muhammad Amirul yang cedera di bahu kiri dijangka menjalani pembedahan pagi ini manakala Nurul Huda ditempatkan di wad ICU untuk pemantauan dan pemeriksaan lanjut.
Keadaan Nurul Huda kritikal apabila mengalami pendarahan teruk akibat terkena tembakan.
Manakala seorang lagi mangsa lelaki, yang juga kenalan Datuk yang maut, cedera di kepala dan menerima rawatan pesakit luar serta dibawa ke balai polis untuk diambil keterangan pada jam 12 tengah malam tadi.
Tiga mayat mangsa tembakan itu juga di hantar ke Unit Forensik HPP untuk bedah siasat.
Terdahulu, perkarangan HPP dipenuhi dengan rakan, ahli keluarga, petugas media dan anggota polis juga ditempatkan bagi mengawal keadaan.