Kes tembak KLIA: Suspek didakwa lagi esok
Sinar Harian
April 24, 2024 18:30 MYT
April 24, 2024 18:30 MYT
SEPANG: Suspek yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini pada dua minggu lalu, akan didakwa lagi atas beberapa pertuduhan kes jenayah di Mahkamah Sepang, pada Khamis.
Polis Selangor mengesahkan perkara berkenaan dalam satu kenyataan.
Pada Rabu, Hafizul Hawari, 38, didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api, 15 April lalu.
Bagi pertuduhan pertama, pengurus syarikat agensi pelancongan ini didakwa memiliki senjata api jenis pistol tertulis Glock 19 Austria, Made in Turkey, menyalahi Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat minimum enam kali.
Pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memiliki 33 butir amunisi PMC 380 AUTO tanpa lesen sah mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8 akta sama.
Ia memperuntukkan maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Pertuduhan ketiga, dia didakwa memiliki satu bungkusan plastik cerah mengandungi mercun bola tanpa permit mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan boleh dihukum di bawah akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, bagi kes keempat hingga enam, tertuduh didakwa memiliki tiga kad pengenalan milik tiga individu lain yang menjadi kesalahan mengikut 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau dengan denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Pertuduhan ketujuh, lelaki itu didakwa memandu Honda Civic warna putih yang menggunakan nombor pendaftaran palsu mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah akta sama.
Hafizul yang dikawal ketat anggota Bahagian Siasatan Khas (D9), akan dibawa ke Sepang selepas prosiding di Kota Bharu selesai. - Sinar Harian