Kes tembak KLIA: Hafizul diberkas polis di Kota Bharu - KPN
Umavathi Ramayah
April 15, 2024 15:38 MYT
April 15, 2024 15:38 MYT
KUALA LUMPUR: Polis memberkas seorang lelaki yang melepaskan melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan perkara itu kepada Astro AWANI.
Menurutnya, suspek, Hafizul Harawi, 38, ditahan di Kota Bharu, Kelantan, pada Isnin.
"Kita baru tahan suspek di Kota Bharu," katanya di sini pada Isnin.
Difahamkan, suspek ditahan di Jalan Bayam, iaitu hadapan Hospital Pakar Perdana iaitu beberapa meter dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, pukul 3 petang, Isnin.
Suspek diberkas sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kelantan.
Katanya, dalam kejadian itu berlaku pergelutan sebelum polis memberkas lelaki itu.
Satu sidang media bersama dijangka akan diadakan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi Ahad, seorang pengawal peribadi kepada isteri suspek tercedera akibat terkena tembakan tersebut.
Akibat kejadian itu, pengawal peribadi berkenaan dikejarkan ke hospital berdekatan dan kini dilaporkan stabil.
Setakat ini, polis sudah merekodkan keterangan 11 suspek.
Berdasarkan siasatan awal, motif kejadian dipercayai berhubung isu penceraian antara suspek dan isterinya.
Polisl mendapati suspek didakwa mahu melepaskan tembakan ke arah isterinya yang sedang menunggu kepulangan jemaah umrah, apabila tembakan itu tersasar.