Kes tembak Bill Kayong: Tolong jangan buat spekulasi - Polis

Astro Awani
Jun 21, 2016 13:41 MYT
Polis telah mengklasifikasikan kes tersebut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.
Polis meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung pembunuhan Setiausaha PKR Cabang Miri, Bill Kayong yang ditembak mati di Miri pagi tadi.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Dev Kumar, mangsa berusia 43 tahun itu, ditembak pada kira-kira jam 8.30 pagi Selasa.
"Mangsa telah ditembak mati oleh seorang individu yang tidak dikenali dengan menggunakan senapang patah ketika dia sedang menunggu lampu isyarat bertukar di dalam keretanya, iaitu sebuah Toyota Hilux di persimpangan Lutong, Miri.
"Kami percaya mangsa sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Senadin, Miri dan sedang menuju ke pejabatnya di Permyjaya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Dev Kumar, polis telah mengklasifikasikan kes tersebut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.
"Kami merayu kepada orang ramai supaya elak dari membuat spekulasi tentang motif tembakan ini," katanya.
Polis juga merayu kepada orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut, untuk tampil menjadi saksi dan membantu siasatan.
Pihak polis juga memberi jaminan akan membuat siasatan menyeluruh terhadap kes bunuh ini.
Dalam kejadian pagi Selasa, Kayong telah ditembak di lampu isyarat berhampiran pusat membeli belah E-mart di Jalan Permyjaya-Kuala Baram di Senadin, Miri.
BACA: Setiausaha PKR Miri, Bill Kayong mati ditembak
BACA: 'Tangkap dan bawa pembunuh Bill Kayong ke muka pengadilan!' - PKR
LAPOR LANGSUNG: Setiausaha PKR Miri, Bill Kayong mati ditembak
Kayong yang ketika itu sedang memandu kenderaan pacuan empat roda dengan logo PKR, ditembak dari sebelah tingkap pemandu sementara menunggu lampu isyarat bertukar hijau.
Beliau kemudiannya ditemui ditembak pada leher dan ditemui rebah pada tempat duduknya.
Kayong merupakan bekas calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu pada Pilihan Raya Negeri Sarawak yang lalu dan juga setiausaha politik kepada Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teoh.
#Bill Kayong #ditembak mati #JSJ Sarawak #PKR Miri #polis #SAC Dev Kumar
;