Kes tembak anggota PGA: Tiga peluru tembusi tubuh Koperal Norihan - KPN

Fareez Azman
November 24, 2020 21:25 MYT
Abdul Hamid berkata tiga butir peluru menembusi badan mangsa mengakibatkan ususnya bocor.
KUALA LUMPUR: Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Koperal Norihan Tari yang parah dalam insiden berbalas tembakan dengan kumpulan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand awal pagi tadi, disahkan stabil.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata tiga butir peluru menembusi badan mangsa mengakibatkan ususnya bocor.
"Sebelum saya pulang dari Padang Besar, saya sempat singgah di Hospital di Kangar (menziarahi mangsa)... beliau dalam keadaan stabil dan penuh bersemangat walaupun terdapat tiga butir peluru dalam badannya.
"Saya dimaklumkan oleh Pengarah Hospital itu bahawa sebutir peluru tersebut telah menembusi ususnya dua lagi peluru tidak menembusi mana-mana organ penting dalam badannya... insya-Allah beliau akan sembuh," katanya dalam sidang media di Bukit Aman pada Selasa.
Dalam pada itu, katanya mendiang Koperal Baharuddin Ramli yang terkorban dalam kejadian itu, akan disemadikan dengan penuh istiadat penghormatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bahau esok.
"Bagi pihak PDRM saya membuat pengakuan... kita akan berikan bantuan kebajikan sepenuhnya kepada kedua-dua keluarga ini.
BACA: Kes tembak anggota PGA: 6 suspek ditahan, 3 rakyat Malaysia diburu
BACA: Anggota PGA ditembak sedang lakukan risikan sebelum diserang - KPN
"Selepas selesai bedah siasat (di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar), jenazah dibawa ke PGA Batalion 3 Bidor, Perak dan keesokan akan dibawa kampungnya di Bahau, Negeri Sembilan.
"Saya telah mengarahkan jenazah dikebumikan dengan penuh tradisi penghormatan PDRM," katanya lagi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.10 pagi itu, Baharuddin, 54, yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar, terkorban manakala Norihan parah terkena tembakan penyeludup.
#PGA #ditembak #sempadan #malaysia-thailand #sindiket #penyeludup #ketum #ubat batuk #Ketua Polis Negara #Abdul Hamid Bador #Norihan Tari
;