Kes tembak anggota PGA: Sarjan Norihan Tari jalani pembedahan keluarkan peluru di HPP

Dewi Nur Harasha Alias
November 26, 2020 17:22 MYT
Pada Rabu, Norihan dipindahkan dari Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar ke HPP bagi menjalani pembedahan mengeluarkan tiga peluru di bahagian perut dan berdekatan tulang belakang. - Gambar fail/BERNAMA
GEORGE TOWN: Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarjan Norihan Tari, yang parah dalam insiden berbalas tembakan dengan kumpulan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand dilaporkan telah menjalani pembedahan membuang peluru di Dewan Bedah Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman Datuk Seri Abd Rahim Jaafar memaklumkan Norihan mula dimasukkan ke bilik bedah sekitar jam 1.30 tengah hari Khamis.
Abd Rahim berkata, pihaknya masih menunggu perkembangan lanjut kerana mangsa baru sahaja menjalani pembedahan pada 1.30 tengahari dan sehingga jam 3.15 petang tadi pembedahan masih lagi berjalan.
Katanya sebarang maklumat terkini akan dimaklumkan kemudian selepas semua urusan pembedahan selesai.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi pada Khamis.
Pada Rabu, Norihan dipindahkan dari Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar ke HPP bagi menjalani pembedahan mengeluarkan tiga peluru di bahagian perut dan berdekatan tulang belakang.
Norihan dibawa dari HTF pada jam 7.40 malam dengan menggunakan ambulans yang diiringi kereta peronda polis.
Dua ahli keluarga, iaitu isteri dan adik mangsa turut hadir di HPP.
Pada Selasa, seorang anggota PGA yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, maut akibat ditembak.
Dalam kejadian jam 3.10 pagi itu, mangsa, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, sedang bertugas bersama Norihan yang mengalami kecederaan parah.
Kedua-dua mangsa dibawa ke HTF Kangar dengan mangsa yang cedera sedang dirawat dan dilaporkan kritikal.
#Norihan Tari #tembakan sempadan #anggota PGA #Abd Rahim Jaafar #tembakan #keselamatan #PPH #George Town
;