Kes tanggal 'wristband PUI', tindakan suspek boleh cetus gelombang kedua COVID-19

Astro Awani
Mei 26, 2020 15:53 MYT
Sistem canggih yang diguna pakai kerajaan Sarawak memudahkan urusan pihak penguatkuasa dalam menangani COVID-19 di negeri tersebut. -Gambar Arkib
Tindakan seorang lelaki di Sibu, Sarawak menanggalkan gelang tangan pengesanan COVID-19 disifatkan sebagai tidak bertanggunjawab dan boleh mencetus gelombang kedua di negeri tersebut.
Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, kewajipan yang dilaksana kerajaan negeri itu dalam mengenakan gelang tangan khas adalah demi kebaikan dan kesejahteraan umum.
“Mereka dinasihatkan untuk menjalani kuarantin di rumah dan diberikan gelang tangan ini sehingga tamat tempoh kuarantin. Jangan dibuka.
“Kita harus bersama-sama mengawal wabak ini dan sentiasa patuhi apa-apa arahan kuarantin yang telah ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan Malaysia ataupun Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak,” katanya.
Tegasnya lagi, setiap individu yang menerima notis duduk di rumah mahupun kuarantin di hotel sejurus tiba dari sesuatu lokasi harus jujur kerana ia melibatkan nyawa orang ramai.
Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian dalam perkongsian di Facebook-nya turut mengecam tindakan individu berkenaan dan menganggap keingkaran tersebut sebagai tidak peduli ke atas keselamatan awam.
Mengikut laporan, suspek dilaporkan tiba di Sibu pada 17 Mei lalu dari Kuala Lumpur dan diarah menjalani kuarantin wajib di rumah sehingga 30 Mei.
Walau bagaimanapun, suspek ingkar dan menanggalkan gelang tangan tersebut pada hari ketujuh dengan keluar ke sebuah kedai makan di bandar berkenaan.
BACA: Lelaki tanggalkan gelang tangan pengesanan COVID-19 berdepan tindakan undang-undang
Tindakannya itu mendapat kritikan netizen di media sosial sehingga mendapat perhatian pihak polis.
Bagaimanapun, suspek telah menyerah diri di Balai Polis Sibu Jaya pada pagi Ahad dan kes diusul ke Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya.
Untuk rekod, Sarawak adalah merupakan negeri pertama yang menggunakan sistem pengesanan PUI secara digital melalui sistem ‘tagging’.
Gelang tangan tersebut berfungsi untuk melaporkan lokasi dan menggalakkan individu yang menerima notis duduk di rumah untuk terus mematuhi arahan kuarantin.
Malah, maklumat terperinci dapat dikongsi dengan menggunakan telefon pintar menerusi bacaan kod QR pada peranti yang diikat di pergelangan tangan itu.
Jika disabitkan kesalahan menanggalkan gelang tersebut, suspek boleh didenda di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dengan kompaun tidak lebih dari RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
#Astro Awani #AWANI Sarawak #COVID-19 #Gelang Tangan Pengesanan PUI #Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Sarawak #Sibu #Wristband PUI
;