Kes Sweden: Azizul kurus selepas keluar penjara, kata adik ipar

Linawati Adnan
Julai 10, 2014 14:37 MYT
Azizul gembira namun amat merindui isteri dan anak-anaknya
Azizul Raheem Awaluddin yang dibebaskan dari penjara akan tiba di tanahair pada 15 Julai pada kira-kira 5.30 petang.
Menurut adik iparnya yang berada di Sweden ketika ini, Noor Azilah Makhzan, pegawai Tourism Malaysia di Sweden yang dipenjarakan kerana melanggar integriti anak-anaknya bersyukur dan sangat gembira kerana telah dibebaskan.
Azizul dan keluarga terdekat di Sweden akan melawat isterinya, Shalwati Norshal di Mahkamah Daerah Solna di Stockholm hari ini namun, hanya Azizul dibenarkan menemui isterinya.
“Azizul kelihatan kurus tetapi Alhamdullillah sihat. Walaupun gembira namun dia amat merindui isteri dan anak-anaknya. Dia tak sabar untuk pulang dan bersama keluarganya,” kata Noor Azilah.
Azizul dan isterinya Norshal didapati bersalah oleh Mahkamah Daerah Solna dan dipenjara sepuluh bulan bagi Azizul dan 14 bulan bagi isterinya.
Walaupun begitu, mahkamah mengurangkan hukuman dan setiap mereka hanya perlu menjalani satu per tiga daripada tempoh hukuman itu.
Shalwati, seorang guru yang bercuti tanpa gaji untuk menemani suaminya di Sweden akan dibebaskan dalam tempoh tiga bulan lagi. Keempat-empat anak mereka, Aishah, 14, Ammar, 12, Adam,11 dan Ariff, 7, kini dijaga oleh ibu saudara mereka di Kelantan setelah dibawa pulang dari Stockholm pada 30 Januari.
#Azizul Raheem Awaluddin #Noor Azilah Makhzan #Shalwati Norshal #Sweden #The Solna District Court #violating the integrity of children
;