Kes suntikan 'vaksin kosong' tiada kaitan dengan sindiket - Khairy

Astro Awani
Julai 25, 2021 12:44 MYT
Khairy percaya majoriti rakyat Malaysia masih memberi kepercayaan kepada petugas barisan hadapan untuk melakukan proses vaksinasi. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin menegaskan isu suntikan vaksin COVID-19 'kosong' tiada kaitan dengan sindiket yang melakukan penjualan atau penyelewengan.
Jelasnya, polis telah mengesahkan perkara itu disebabkan kecuaian manusia dan tiada bukti kukuh yang menunjukkan kejadian itu didalangi sindiket.
"Setakat ini, polis telah memberitahu kepada saya, daripada kes cuai ini tidak ada kaitan langsung dengan sindiket penjualan.
"Sudah tentu conspiracy theory now dan juga mesej-mesej dalam kumpulan WhatsApp keluarga, taman terutama bahawa vaksin kosong ini adalah sindiket konon nak jimatkan vaksin untuk dijual (tidak benar). There's no proof," katanya dalam satu sidang media melalui aplikasi Zoom.
Isu Vaksin Kosong | Tiada kaitan dengan sindiket penjualan
Katanya isu kecuaian seperti itu bukan hanya berlaku di Malaysia, malah turut berlaku negara lain seperti Singapura yang merekodkan kes tersalah suntik vaksin sebanyak lima kali terhadap seorang individu.
Justeru, Khairy berkata, beliau kesal dengan sikap sesetengah netizen di Malaysia yang sengaja mempolemikkan isu berkenaan.
Dalam pada itu, Khairy percaya majoriti rakyat Malaysia masih memberi kepercayaan kepada petugas barisan hadapan untuk melakukan proses vaksinasi.
"Nak mengatakan bahawa disebabkan ada satu dua tiga kes ini, jadi semua kes adalah 'cucuk angin' (adalah tidak adil) terutama kepada golongan barisan hadapan yang merisikokan nyawa mereka di PPV.
"Saya (percaya) ramai atau mungkin 99.9 peratus tidak ada apa-apa keraguan dan masalah berkenaan dengan vaksinasi mereka," ujarnya.
#Khairy Jamaluddin #COVID-19 #Malaysia #suntikan #petugas barisan hadapan #vaksin #PPV #PICK #sindiket #rakyat Malaysia #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan