Kes sumbang mahram dituduh di mahkamah meningkat

Bernama
Oktober 7, 2019 23:43 MYT
Sehingga Ogos, 57 kes direkodkan berbanding 21 kes sepanjang tahun lepas.
Bilangan kes sumbang mahram yang dituduh di mahkamah tahun ini meningkat berbanding tahun lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.
Beliau berkata sehingga Ogos, 57 kes direkodkan berbanding 21 kes sepanjang tahun lepas.
Menurutnya, 35 kes sumbang mahram tahun ini direkodkan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) berbanding tujuh tahun lepas.
"Bagi kes seksual rogol, bilangan kes yang dituduh di mahkamah setakat Ogos adalah 269 manakala tahun lepas pula mencatatkan 481 kes," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan yang diajukan Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) yang dipaparkan di laman web Parlimen.
Dalam pada itu, 183 kes cabul dituduh di mahkamah sepanjang lapan bulan pertama tahun ini berbanding 384 sepanjang 2018.
Bagi gangguan seksual, 54 kes direkodkan sehingga Ogos lalu berbanding 90 kes sepanjang tahun lepas.
-- BERNAMA
#gangguan seksual #kes cabul #kes sumbang mahram #Liew Vui Keong #Menteri di Jabatan Perdana Menteri #NFA #sumbang mahram
;