Kes SRC: Perbicaraan Najib ditetapkan 15 April hingga 10 Mei
Astro Awani
April 13, 2019 07:54 MYT
April 13, 2019 07:54 MYT
Tumpuan akan kembali terarah kepada kes perbicaraan membabitkan dakwaan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Isnin, berhubung dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn. Bhd.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 April lalu memutuskan 15 April sehingga 10 Mei bagi menyambung perbicaraan bekas presiden UMNO itu.
Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pasukan pendakwaan yang dibarisi peguam kanan yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Datuk Sulaiman Abdullah dan Datuk V. Sithambaran.
Pasukan itu turut dibantu DPP, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria, Manoj Kurup, Budiman Lufti Mohamed dan Muhammad Izzat Fauzan.
Manakala Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pembelaan, dibantu peguam Harvinderjit Singh, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, Rahmat Hazlan dan Syahirah Hanapiah.
Selain itu, sewaktu membacakan ucapan pembukaan pendakwaan di bilik bicara Mahkamah Tinggi Jenayah, Thomas berkata, bukti pendakwaan akan menunjukkan Najib mengeluarkan sejumlah 15 cek dari akaun peribadi beliau berjumlah RM10,776,514.
Selain itu, turut cuba dibuktikan ialah perbelanjaan sejumlah AS$130,625 melalui kad kredit Najib di butik Chanel di Honolulu, Hawaii dan penggunaan sejumlah cek untuk kerja-kerja pengubahsuaian kediaman peribadi beliau di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur dan di Pekan, Pahang.
Sementara itu, ketua peguam bela Najib, Muhammad Shafee menafikan ada cubaan daripada pihaknya untuk menangguhkan perbicaraan kes berkenaan.
Sebaliknya, jelas Muhammad Shafee, pihak peguam bela sendiri bertegas agar perbicaraan itu diteruskan pada tarikh yang ditetapkan.
Ahli parlimen Pekan berusia 66 tahun itu berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta sama.
Jika sabit kesalahan, Najib boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda yang boleh sampai lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.
Pada prosiding bicara 3 April lalu, pihak pendakwaan memanggil seorang saksi untuk memberi keterangan.
Pada prosiding itu juga, kesemua tujuh pertuduhan ke atas Najib dibacakan semula dan beliau kekal mengaku tidak bersalah terhadap setiap pertuduhan dikenakan.
#kes perbicaraan
#Mahkamah Tinggi Jenayah
#Muhammad Shafee Abdullah
#Najib Razak
#SRC International
#Tommy Thomas