Kes SRC: Pasukan pembelaan Najib mohon kemuka rayuan pada Isnin

Bernama
Julai 28, 2020 14:33 MYT
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (dua, kiri) bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA
Sejurus selepas Datuk Seri Najib Tun Razak didapati bersalah terhadap kesemua tujuh pertuduhan membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, pasukan pembelaannya memohon agar rayuan bagi hukuman yang ringan didengar pada Isnin ini.
Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengemukakan permohonan itu kepada Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali, kerana beliau akan memanggil seorang atau dua saksi untuk menyokong rayuan berkenaan.
"Ini bukan sesuatu yang baharu untuk menyokong faktor peringanan hukuman. Tidak akan ada prejudis terhadap pihak pendakwaan bagi mahkamah menangguhkan rayuan pada Isnin. Anak guam saya tidak akan ke mana-mana kerana pergerakan negara ini masih disekat kerana pandemik COVID-19, " katanya.


LAPOR LANGSUNG Najib bersalah atas semua pertuduhan

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc Datuk V. Sithambaram membantah permohonan itu atas alasan rayuan itu perlu diteruskan memandangkan penghakiman telah diumumkan.

"Yang Arif telah mendapati tertuduh bersalah, biasanya penangguhan selepas sabitan tetapi penangguhan di sini selepas keputusan. Dalam hal ini, jelas prejudis di pihak pendakwaan dan ia situasi yang janggal," tegas Sithambaram.
-- BERNAMA
#mahkamah #Muhammad Shafee Abdullah #Najib Razak #pengubahan wang haram #Rasuah #SRC International