Kes SRC Najib: Tidak, saya tidak tahu - Suboh
Wan Syamsul Amly
Julai 8, 2019 15:36 MYT
Julai 8, 2019 15:36 MYT
Saksi ke-42 Datuk Suboh Md Yassin lebih banyak menjawab tidak dan tidak tahu untuk beberapa soalan terakhir Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram sebelum penghujung sesi soal jawab dalam perbicaraan tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bagaimanapun, bekas Pengarah Bukan Eksekutif SRC itu mengaku hadir pada mesyuarat lembaga pengarah SRC yang diadakan pada 8 Jun 2012 selain tandatangan bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Nik Faisal Ariff Kamil juga kelihatan dipotong dan ditampal sepertinya.
Sithambaram: Adakah anda tahu sekiranya Nik Faisal ada mandat untuk menangani akaun bank peribadi Najib (Datuk Seri Najib Razak)?
Suboh: Saya tidak tahu.
Sithambaram: Adakah anda sedar siapa melantik Nik Faisal sebagai Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) dan kemudian sebagai Pengarah SRC International?
Suboh: Tidak, saya tidak tahu.
Sithambaram: Ada wang masuk ke akaun anda?
Suboh: Tidak
Sithambaram: Berdasarkan apa yang kami tunjukkan kepada anda, yang dipalsukan, adakah anda melihat sebarang wang masuk ke akaun Nik Faisal?
Suboh: Tidak
Sithambaram: Pada masa anda dan Nik Faisal menjadi pengarah SRC International, adakah beliau sentiasa berada dalam negara?
Suboh: Seingat saja, kadang-kala beliau dalam negara, kadang-kala tidak.
Selepas beberapa soalan, peguam bela Najib, Harvinderjit Singh berhujah dan mempertikaikan hala tuju pertanyaan Sithambaram.
Bagaimanapun, Sithambaram berkata, soalannya biasa sahaja dan bertujuan untuk memahami.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudiannya meminta soalan diteruskan.
Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Sesi diteruskan pada sebelah petang dengan saksi baharu ke-43 iaitu bekas Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Maliami Hamad.