Kes SRC Najib: Penjara Kajang jadi tumpuan media

Hasimi Muhamad
Ogos 24, 2022 11:10 MYT
Kebanyakan pengamal media berkumpul seawal jam 7.30 pagi, dengan tumpuan terarah kepada pergerakan Ahli Parlimen Pekan itu, jika dipindahkan ke Penjara Sungai Buloh. -Astro AWANI
KAJANG: Penjara Kajang, yang menjadi lokasi Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani hukuman terus menjadi tumpuan pengamal media hari ini bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai bekas Perdana Menteri itu.
Kebanyakan mereka berkumpul seawal jam 7.30 pagi, dengan tumpuan terarah kepada pergerakan Ahli Parlimen Pekan itu, jika beliau dipindahkan ke Penjara Sungai Buloh.
Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian Astro AWANI setakat ini, tiada sebarang pergerakan dari mana-mana pihak termasuk ahli keluarga Najib yang hadir ke Penjara Kajang.
Dari aspek keselamatan pula, pengamal media hanya dibenarkan berada sekitar 300 meter (m) dari pintu masuk Penjara Kajang.
Unit Anjing Pengesan (K9) turut dilihat ditempatkan di kawasan pintu masuk, selain anggota Penjara Kajang memeriksa kenderaan yang memasuki kawasan penjara berkenaan.
Selain itu, berdasarkan tinjauan juga tidak kelihatan mana-mana kumpulan individu yang berkumpul di kawasan berdekatan Penjara Kajang.

Fakta mengenai #PenjaraKajang - Dibina pada 1975 di atas tanah seluas 161.3 hektar dan beroperasi sepenuhnya pada pertengahan tahun 1985 @501Awani pic.twitter.com/jAisAKeYtF

— Hasimi Muhamad (@HasimiM) August 24, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Semalam, Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata, keadaan di sekitar penjara berkenaan terkawal dengan kawalan keselamatan dipertingkatkan.
Mahkamah Persekutuan pada Selasa mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata selepas meneliti bukti, hujahan dan rekod-rekod rayuan, adalah didapati petisyen rayuan Najib tidak mempunyai merit.
Tengku Maimun yang mengetuai barisan lima panel hakim memutuskan menolak permohonan rayuan Najib bagi mengetepikan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi yang diputuskan pada 28 pada Julai 2020.
Turut bersidang Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd.
#SRC International #Najib Razak #Penjara Kajang #Penjara Sungai Buloh
;